SEORANG wanita berputih mata apabila hasratnya untuk bergaya dengan beg tangan berjenama tidak kesampaian apabila barang yang dibeli secara dalam talian itu tidak sampai.
Mangsa yang berusia 33 tahun yang bekerja sebagai kerani sebuah syarikat swasta terpaksa menanggung kerugian sehingga RM3,500.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa tertarik untuk memiliki beg tangan jenama Louis Vuitton yang ditawarkan pada harga RM3,800 setelah melihat iklannya melalui laman sosial Instagram yang dilayari pada 27 Julai lalu.
Menurutnya, mangsa menghubungi penjual (suspek) melalui nombor WhatsApp tertera dan suspek bersetuju mengurangkan harganya kepada RM3,500.
"Mangsa bersetuju dengan harga itu lalu membuat bayaran penuh secara pindahan wang ke akaun yang diberikan suspek pada Isnin lalu.
"Selepas bayaran dijelaskan mangsa menghubungi suspek untuk meminta nombor 'tracking' penghantaran namun mangsa diminta membuat bayaran tambahan kononnya untuk caj kastam sebelum maklumat tersebut akan diberikan," katanya melalui satu kenyataan pada Sabtu.
Mohd Wazir berkata, mangsa yang mula curiga dan syak telah ditipu tampil membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Krau, Temerloh pada Jumaat untuk tindakan lanjut.
"Hasil semakan mendapati terdapat enam kes direkodkan bersangkutan akaun bank yang digunakan suspek manakala semakan nombor telefon mendapati tiada rekod sebagai nombor telefon bermasalah.
"Polis percaya suspek menggunakan modus operandi memperdaya mangsa dengan menawarkan penjualan barang berupa beg tangan berjenama yang tidak wujud di laman Instagram bagi mendorong mangsa membuat bayaran," katanya.
Menurutnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram