
PROSES memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) boleh dibuat secara terus di mana-mana cawangan Pos Malaysia di seluruh negara, bermula Isnin ini.
Untuk itu, bagi mereka yang sudah pun membuat temu janji boleh memilih sama ada kekal dengan tarikh, lokasi dan masa pilihan atau pun terus berurusan tanpa menunggu slot temu janji.
“Pelanggan juga boleh memperbaharui insurans kenderaan motor mereka menerusi kaunter pejabat pos atau secara dalam talian melalui laman web dan aplikasi mudah alih,” menurut kenyataan dikeluarkan Pos Malaysia.
Maklumat lanjut yang berkaitan boleh dirujuk di ‘AskPos’, laman sesawang www.pos.com.my atau pun di aplikasi mudah alih Pos Malaysia.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas pengumuman dibuat oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong, Jumaat lalu.
Menerusi pengumuman itu, kementerian itu memberikan tempoh moratorium bagi pembaharuan LKM dan LMM dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021.
Pemilik LKM yang telah tamat tempoh sah harus memastikan kenderaan masing-masing dilindungi insurans sah dan perlu tunjukkan sijil perlindungan insurans bagi tujuan pemeriksaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram