Pekerja tolak vaksin boleh kena tindakan, kata menteri


  • Primer
  • Jumaat, 03 Sep 2021

Saravanan berkata, kementerian juga akan membuat pemeriksaan di kilang untuk memastikan pengudaraan yang baik di bawah tindakan akta yang sama. — MUHAMAD SHAHRIL ROSLI/The Star

TINDAKAN undang-undang termasuk boleh dikenakan terhadap pekerja yang menolak vaksin Covid-19 kerana mewujudkan persekitaran tidak selamat di tempat kerja, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan.

Beliau berkata tindakan itu boleh diambil berdasarkan peruntukan mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) 1994.

Beliau tidak menyatakan bentuk hukuman tersebut, tetapi berdasarkan OSH 1994, antara tindakan yang boleh diambil termasuk dikenakan denda dan pendakwaan walaupun tiada peruntukan undang-undang yang menetapkan vaksinasi Covid-19 sebagai mandatori,

Namun Saravan berkata mengikut OSH 1994 majikan dikehendaki memastikan keselamatan dan kesihatan bagi setiap individu di tempat kerja dalam keadaan yang baik.

"Orang ramai boleh pertikai tiada akta baharu dikeluarkan tapi mereka perlu tahu bahawa akta berkaitan dengan keselamatan di tempat kerja masih boleh digunapakai.

"Kami tidak boleh mengambil tindakan jika terdapat individu tidak divaksin, tetapi tindakan masih boleh diambil kerana tempat itu tidak selamat dari segi persekitaran,” katanya.

Saravanan berkata, kementerian juga akan membuat pemeriksaan di kilang untuk memastikan pengudaraan yang baik di bawah tindakan akta yang sama.

Justeru, beliau mendesak semua pihak agar memberi sokongan terhadap program vaksinasi yang dilaksanakan kerajaan bagi negara bebas dari jangkitan Covid-19 terutamanya di tempat kerja.

Rabu lalu, Presiden Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) Dr Shawaludin Husin membuat kenyataan bahawa pihak majikan tidak mempunyai kuasa untuk memaksa pekerja mendapatkan vaksin Covid-19. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram