SEORANG bekas guru sekolah antarabangsa terlepas hukuman tali gantung kerana mengedar metamfetamin seberat 959.5 gram apabila Mahkamah Persekutuan menggantikan pertuduhan itu kepada memiliki dadah.
Panel tiga Hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Rohana Yusuf semalam membenarkan rayuan Suhailah Abdullah, 48, untuk mengetepikan sabitan dan hukuman mati kerana mengedar dadah.Mahkamah sebaliknya menjatuhi hukuman penjara 10 tahun dari tarikh dia ditangkap pada 27 Mei 2013, setelah menggantikan pertuduhan kepada memiliki.
Peguam Datuk Seri K. Rakhbir Singh yang mewakili wanita itu berkata, anak guamnya telah dibebaskan dari Penjara Kajang memandangkan telah menjalani hukuman penjara berkenaan.
"Dia menangis setelah Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuannya," kata peguam itu dan menambah bahawa anak guamnya juga mengucapkan terima kasih kepada hakim Mahkamah Persekutuan yang telah memberikannya peluang baharu.
Prosiding di hadapan Hakim Rohana dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Rahman Sebli dan Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim dijalankan secara maya.
Suhailah didakwa di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 2013 atas pertuduhan mengedar dadah di balai ketibaan Terminal Satu Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada 11.15 pagi, 27 Mei 2013.
Dia tiba di lapangan terbang dari New Delhi setelah transit di Singapura.
Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan mengedar tetapi mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie bagi memiliki dadah dan memerintahkan Suhailah membela diri atas pertuduhan memiliki.
Suhailah, bagaimanapun memilih untuk mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu dan kemudiannya dihukum penjara 14 tahun.
Pihak pendakwaan kemudiannya mengemukakan rayuan dan Mahkamah Rayuan pada 18 Julai 2016 memerintahkan Suhailah membela diri atas pertuduhan mengedar dadah.
Pada 23 Jun 2017, Mahkamah Tinggi mendapati dia bersalah atas pertuduhan mengedar dadah dan menjatuhi hukuman mati.
Suhailah gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 6 Ogos 2018.
Dalam prosiding rayuan, Rakhbir Singh berhujah bahawa Suhailah ditipu dua warga Nigeria di New Delhi, India, yang memintanya membawa beg berisi pakaian baharu untuk diserahkan kepada rakan mereka juga warga Nigeria di Malaysia.
Setelah memeriksa beg tersebut, Suhailah bersetuju untuk menolong mereka membawa beg itu dan tanpa disedari, dia membawa dadah yang diletakkan secara tersembunyi di dalam beg itu.
Timbalan Pendakwa Raya Zaki Asyraf Zubir dan Nahra Dollah mewakili pendakwaan. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram