USUL kerajaan menaikkan had statutori hutang negara kepada 65 peratus daripada Keluaran Dalam Negara (KDNK) bukanlah sesuatu yang luar biasa, tetapi ia turut dilakukan negara-negara lain yang terkesan akibat pandemik Covid-19, kata pakar ekonomi.
Bercakap kepada Majoriti, Penasihat Penyelidikan Pusat Dialog Peradaban, Universiti Malaya, Dr Fatimah Kari berkata agak mustahil bagi satu-satu negara itu untuk tidak meningkatkan had statutori hutang mereka dalam keadaan sekarang.
'Kalau ditanya perlu atau tidak, saya kata dalam keadaan pandemik ini semua negara akan meningkatkan peratus hutang daripada KDNK, tak ada negara pun yang tak meningkat, agak mustahil untuk satu-satu negara itu tidak meningkatkan had hutang mereka," katanya.
Dr Fatimah Kari berkata agak mustahil bagi satu-satu negara itu untuk tidak meningkatkan had statutori hutang negara yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Selain Malaysia antara negara lain yang turut meningkatkan had statutori hutang negara adalah Kanada, Rusia dan China.
Turut berkongsi pandangan yang sama adalah Pensyarah Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan Universiti Tun Abdul Razak, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai.
Menurut Barjoyai, peningkatan had hutang negara itu sememangnya sudah dijangkakan, namun katanya, kerajaan perlu memilih untuk membuat pinjaman daripada pasaran tempatan.
“Kenapa kita perlu naikkan had hutang adalah kerana kita jangkakan budget defisit negara berada pada tahap tujuh peratus dan kerana itu kita terpaksa meminjam tambahan 5 peratus daripada had 60 peratus sekarang.
“Secara umumnya ini memang sudah dijangka, dalam keadaan persekitaran sekarang, semua negara dijangka meningkatkan had hutang tapi pinjaman ini perlulah dibuat dari pasaran tempatan dan kebiasaannya ia dilakukan melalui penerbitan bon.
“Jadi kesannya pada pasaran tempatan boleh dikawal, tapi kita mengharapkan kesan ini boleh ditutup (offset) oleh hasil yang akan kita capai daripada pinjaman yang dilakukan.. Maknanya duit (daripada pinjaman) tersebut seharusnya memberi kesan positif yang lebih tinggi kepada ekonomi berbanding dengan nilai pinjaman,” jelasnya.
Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berpendapat kerajaan seharusnya memilih untuk membuat pinjaman daripada pasaran tempatan.
Katanya, peningkatan peratusan hutang negara ini akan secara perlahan-lahan meningkatkan kadar inflasi negara, namun kesan ini mungkin tidak akan dirasai orang awam.
Barjoyai berkata, walaupun peningkatan had hutang negara ini dijangka memberi kesan kepada rating kredit negara, ia merupakan sesuatu yang perlu dilakukan untuk merangsang semula ekonomi negara, di samping membantu golongan yang memerlukan.
“Dalam situasi sekarang Fitch Rating ini adalah perspektif minoriti, pandangan yang lebih umum adalah ia menunjukkan bahawa negara berani untuk mengambil inisiatif untuk pulih dari kemelesetan ekonomi, jika tidak kita akan berada dalam kemelesetan ekonomi untuk tempoh yang lebih lama dan situasi akan lebih teruk,” jelasnya. — Majoriti.
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram