KERAJAAN akan terus tampil membantu dan bersemuka dengan golongan bilal serta iman yang berkeras dengan pendirian tidak mahu mengambil suntikan vaksin Covid-19.
Pendekatan itu bukan mahu menjatuhkan hukuman sebaliknya langkah yang diambil lebih menjurus kepada penerangan, penjelasan dan sesi kaunseling.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, inisiatif itu bagi memastikan golongan berkenaan mendapat perlindungan daripada jangkitan.
“Kalau kita lihat kepada jumlah tahap pengambilan vaksin dalam negara sudah tinggi, namun kita akan teruskan lagi beri penerangan dan penjelasan kepada golongan antivaksin ini.
“Kalau perlu untuk kita panggil, kita akan panggil sebagaimana sesetengah negeri lakukan melibatkan kelompok sasar yang tidak mahu mengambil vaksin sebab terpengaruh dengan dakyah dan propaganda pihak tertentu.
“Bukan tindakan undang-undang, tetapi tindakan memberi penerangan, penjelasan dan kaunseling.
“Kita juga akan melakukan perkara yang sama selaras dengan semua agensi-agensi kerajaan di bawah kita termasuklah imam dan bilal,” katanya.
Sebelum ini, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pernah menzahirkan rasa dukacita selepas terdapat 112 individu termasuk guru kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) di negeri ini bersikap menolak daripada menerima suntikan vaksin.
Sultan Sharafuddin bertitah, kedegilan itu bukan saja menghadirkan risiko kepada diri sendiri tetapi turut boleh memudaratkan pelajar. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram