'Kanak-kanak sihat tidak disyor ambil vaksin'


  • Benua
  • Sabtu, 04 Sep 2021

JCVI berkata ia akan memperluas kelayakan untuk vaksinasi Covid-19 kepada golongan umur 12 hingga 15 tahun yang mempunyai masalah kesihatan. — Agensi

BRITAIN mungkin tidak melaksanakan program vaksinasi untuk kanak-kanak sihat berusia 12 hingga 15 tahun berdasarkan nasihat Jawatankuasa Bersama Vaksinasi dan Imunisasi (JCVI) mengenai dasar Covid-19 negara itu.

Menurut JCVI, terdapat manfaat kecil bagi kanak-kanak menerima vaksin Covid-19 dan jawatankuasa itu mencadangkan agar langkah pencegahan dibuat dengan menilai kesan jangka panjang keradangan jantung yang jarang berlaku.

Jika diluluskan, Britain akan mengambil pendekatan berbeza berbanding Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara Eropah lain yang meneruskan program vaksinasi terhadap kumpulan umur berkenaan.

Jawatankuasa itu menasihatkan supaya pemberian vaksin ditangguhkan sementara menunggu lebih banyak maklumat mengenai laporan keradangan jantung, yang dikenali sebagai miokarditis diperoleh dalam kalangan golongan muda yang menerima suntikan Pfizer.

"JCVI berpandangan secara keseluruhannya manfaat kesihatan daripada vaksinasi Covid-19 bagi kanak-kanak sihat berusia 12 hingga 15 tahun mempunyai sedikit kelebihan berbanding risiko bahaya," kata Ketua Imunisasi Covid-19 JCVI, Wei Shen Lim.

Bagaimanapun sebelum kerajaan Britain menerima nasihat Jawatankuasa Bersama Vaksinasi dan Imunisasi (JCVI) mengenai dasar Covid-19, mereka akan berunding dengan penasihat perubatan mengenai kesan sosial yang meluas terhadap vaksinasi kanak-kanak, sekali gus menyaksikan keputusan akhir belum dimuktamadkan.

"Kelebihan itu dianggap terlalu kecil bagi menyokong vaksinasi Covid-19 untuk golongan berkenaan pada masa ini," katanya, sambil menambah bahawa data keselamatan akan dikaji secara berterusan.

JCVI berkata ia akan memperluas kelayakan untuk vaksinasi Covid-19 kepada golongan umur 12 hingga 15 tahun yang mempunyai masalah kesihatan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

vaksin, kanak-kanak, covid-19