'Wujudkan garis panduan elak golongan tolak vaksin ditindas'


  • Massa
  • Sabtu, 04 Sep 2021

PENJAWAT awam merupakan barisan hadapan yang akan menjadi pemudah cara kepada rakyat dan sektor ekonomi. — Bernama

SATU garis panduan wajar diperkenalkan berhubung isu pengambilan vaksin Covid-19 dalam kalangan pekerja swasta mahu pun penjawat awam, kata Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs).

Presidennya, Adnan Mat berkata cadangan itu dibuat bagi memastikan golongan tersebut tidak ditindas kerana menolak untuk divaksin.

Jelasnya, garis panduan itu penting untuk mengelak daripada majikan buat keputusan berdasarkan pandangan mereka sendiri terutamanya ketika ini belum ada undang-undang mewajibkan pengambilan vaksin.

Atas dasar itu, Adnan merasakan kerajaan wajar mengeluarkan pekeliling khusus buat penjawat awam yang menyentuh secara jelas tindakan serta pendekatan perlu diambil.

"Cuepacs percaya tidak semua mereka yang menolak vaksin Covid-19 adalah golongan antivaksin, sebaliknya mereka ini mungkin masih belum yakin dengan keberkesanan vaksin itu.

“Dalam hal ini kerajaan perlu pergiatkan usaha memberi kesedaran untuk meningkatkan keyakinan rakyat bagi mengambil vaksin Covid-19.

"Tindakan terburu-buru ke atas kumpulan yang masih menolak vaksin hanya akan mendedahkan kerajaan kepada risiko tindakan undang-undang sekiranya garis panduan atau undang-undang jelas mengenai pengambilan vaksin belum dikuatkuasakan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Bagaimanapun, Adnan berkata, Cuepacs tetap dengan pendirian yang penjawat awam wajar ambil suntikan vaksin bagi memastikan sistem perkhidmatan awam berjalan dengan baik.

Pendirian Cuepacs ini dibuat selepas mengambil kira penjawat awam adalah barisan hadapan yang akan menjadi pemudah cara kepada rakyat dan sektor ekonomi.

Selain itu, Adnan juga gesa kerajaan supaya membentuk satu jawatankuasa khas bagi menilai dan mengkaji berkenaan undang-undang mewajibkan pengambilan vaksin Covid-19 di Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram