'Sebagai abang sulung Pemuda, saya bertanggungjawab beri nasihat'


  • Politik
  • Sabtu, 04 Sep 2021

ASYRAF berkata tindakan terbaharu parti itu melibatkan soal tatasusila serta disiplin yang termaktub dalam perlembagaan parti terbabit. — The Star

AHLI Umno yang digantung keahliannya mempunyai hak untuk mengemukakan rayuan kepada Lembaga Disiplin, kata Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki,

Ketua Pemuda Umno itu berkata, hak setiap ahli dalam parti masih terjamin dan individu yang digantung keahliannya masih boleh mengemukakan rayuan kepada Lembaga Disiplin.

"Dalam mana-mana persatuan atau parti politik, perkara begini biasa berlaku. Kita tunggu dan lihat apa jua keputusan dibuat selepas ini," katanya.

Terdahulu, Umno menggantung keahlian Exco Pemuda, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo selama enam tahun berkuat kuasa 27 Ogos lalu selepas didapati melanggar Perlembagaan parti.

Jelas Asyraf, tindakan penggantungan keahlian dalam Umno diambil bukan semata-mata disebabkan kritikan lantang terhadap pemimpin parti, namun setelah mengambil kira pelbagai perkara termasuk melanggar tatasusila dan disiplin parti.

Katanya, tindakan terbaharu parti itu melibatkan soal tatasusila serta disiplin yang termaktub dalam Perlembagaan parti terbabit.

"Sebagai parti yang demokrasi, semua pihak boleh menyuarakan pandangan berbeza mahu pun mengkritik kepimpinan tertinggi termasuk Presiden.

"Berbeza pandangan dan mengkritik itu biasa, tetapi isunya ialah apabila kita melampaui batas dan perkara berkenaan disiasat oleh Lembaga Disiplin hingga diangkat ke Majlis Kerja Tertinggi (MKT)," katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Asyraf Wajdi berkata, sebagai individu yang bertanggungjawab menjaga ahli di bawahnya, beliau telah berusaha untuk menasihati individu terbabit sebelum tindakan diambil.

"Sebagai abang sulung dalam Pemuda sudah tentu saya bertanggungjawab memberikan nasihat dan peringatan lebih-lebih lagi apabila menerima laporan daripada akar umbi berhubung tindakan yang dilakukan.

"Namun, apabila tindakan sudah diambil, kita sudah tidak boleh berbuat apa-apa kerana ia tertakluk di bawah Lembaga Disiplin yang merupakan badan bebas,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram