Isu hutan simpan: 'Batal terus, bukan tangguh'


  • Politik
  • Jumaat, 03 Sep 2021

Penyahwartaan HSKLU akan mengganggu gugat kehidupan masyarakat Orang Asli yang berada di kawasan itu. — The Star

KERAJAAN Negeri Selangor perlu bertegas berhubung isu penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) dengan membatalkan terus rancangan pembinaan pembangunan bercampur di kawasan hutan itu, kata Umno Selangor.

Ketua Penerangannya, Datuk Abd Rahman Bakri berkata, penyahwartaan itu bukan sahaja akan menjejaskan biodiversiti hutan itu, sebaliknya mampu menjejaskan kehidupan masyarakat Orang Asli.

"Sudah tentu penyahwartaan ini mengganggu gugat kawasan hutan dan ekosistem, mahupun kehidupan masyarakat setempat khususnya masyarakat Orang Asli," katanya.

Tegasnya, Umno tidak mahu keputusan itu ditangguhkan semata-mata, dan meminta Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari supaya lebih peka dan sensitif berhubung isu itu dan menyelesaikannya segera.

"Kami tidak mahu kerajaan negeri menangguhkan sementara, sebaiknya mahu ketegasan daripada kerajaan negeri untuk membatalkan sebarang projek pembangunan di kawasan tersebut," katanya.

Tambah Abd Rahman, HSKLU wajib dipertahankan bagi menangani isu perubahan iklim dan cuaca pada masa ini.

"Kejadian bencana banjir besar dan bencana alam yang kerap antara kesan yang berlaku berpunca daripada perubahan iklim," katanya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram