IBU bapa digesa tidak menangguhkan pemberian suntikan vaksin kepada anak mereka apabila program vaksinasi untuk golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun dijalankan bermula bulan ini.
Menurut pakar perubatan kesihatan awam Universiti Malaya, Prof. Dr. Victor Hoe, kajian terbaharu menunjukkan vaksin Covid-19 adalah selamat untuk kanak-kanak.
"Ketika vaksin masih baharu, keselamatan golongan muda belum dinilai.
"Bagaimanapun, kajian terbaharu menunjukkan vaksin selamat untuk mereka, jadi kita harus mula menjalankan vaksinasi kepada mereka," katanya.
Kadar jangkitan dalam kalangan kanak-kanak menjadi kebimbangan utama terutamanya apabila sesi persekolahan bakal dibuka pada 3 Oktober kelak.
Tambah Hoe, vaksinasi dalam kalangan remaja adalah penting kerana ada antara mereka mengalami gejala Covid-19 yang teruk dan perlu dimasukkan ke hospital.
"Memberi vaksinasi kepada golongan muda akan memastikan perlindungan bagi mereka dan orang lain dan membolehkan mereka kembali ke sekolah dengan risiko yang lebih rendah untuk mendapat penyakit.
"Sekiranya ibu bapa masih ragu-ragu, mereka harus berbincang dengan doktor keluarga, doktor am atau pakar pediatrik," jelas beliau lagi.
Sementara itu, pakar perubatan kesihatan awam Universiti Islam Antarabangsa, Prof. Dr. Mohammad Farhan Rusli berkata, memandangkan kadar imunisasi dalam kalangan golongan dewasa sudah meningkat, sudah tiba masanya untuk memperluaskan penerimaaan vaksin merangkumi remaja.
"Golongan ini perlu diberi vaksin kerana interaksi sosial, pembelajaran dan aktiviti fizikal mereka yang memerlukan mereka dilindungi," ujarnya.
Jelas Mohammad Farhan, meskipun wujud laporan pemberian vaksin dalam kalangan remaja akan memberi kesan samping seperti radang jantung namun risiko lebih besar menanti sekiranya mereka tidak diberi vaksin. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram