PERSATUAN Farmasi Malaysia (MPS) mempersoalkan tindakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang menetapkan harga siling bagi kit ujian kendiri Covid-19 tanpa berbincang dengan pihaknya.
Presiden MPS, Amrahi Buang berkata, beliau berduka cita terhadap keputusan kerajaan menetapkan harga siling bagi kit ujian kendiri Covid-19 tanpa melibatkan pihak berkepentingan.
"Pada 6 Ogos 2021, satu surat telah diutuskan kepada KPDNHEP sekiranya kerajaan ingin mengawal harga kit ujian kendiri, perlulah mengambil kira isu stok yang sedang dipegang oleh farmasi komuniti dan juga isu logistik untuk Sabah dan Sarawak," katanya dalam satu hantaran Facebook pada Khamis.
Jelas Amrahi, isu kawalan harga telah dibicarakan dalam satu mesyuarat bersama KPDNHEP pada 18 Ogos lalu, tetapi tidak secara terperinci.
Tambahnya, pihak MPS juga telah memberikan beberapa cadangan kepada kerajaan berkaitan isu kit ujian kendiri, termasuk isu harga.
MPS dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menyambut baik penetapan harga siling bagi kit ujian kendiri Covid-19, tetapi keputusan haruslah dilakukan secara bersama dan adil bagi pengusaha farmasi.
"Dengan pengumuman mengejut oleh pihak kementerian, adalah mustahil bagi pihak farmasi untuk menjual stok sedia ada dengan harga lama.
"Pengumuman oleh KPDNHEP ini sama seperti keputusan mereka ketika menetapkan harga siling bagi pelitup muka sebelum ini," kata kenyataan itu.
Kementerian Kesihatan Malaysia dan KPDNHEP dalam satu kenyataan bersama pada Khamis mengumumkan harga borong dan runcit bagi kit ujian kendiri Covid-19 ditetapkan kepada RM16 dan RM19.90 bagi satu set.
Menurut kementerian berkenaan, kit ujian tersebut akan diletakkan di bawah kawalan berkuat kuasa Ahad ini menerusi Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Akta Kawalan Bekalan 1961. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram