Anwar minta MB Selangor perjelas isu hutan simpan


  • Politik
  • Selasa, 31 Ogos 2021

AMIRUDIN Shari diminta untuk memberi penjelasan terperinci berhubung penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara. — AZMAN GHANI/The Star

MENTERI Besar Selangor Amirudin Shari diminta untuk memberi penjelasan terperinci berhubung penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) kepada kepemimpinan parti PKR dalam satu pertemuan pada Rabu, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Selasa, Anwar berkata pimpinan PKR sejak tahun lalu telah memaklumkan kepada Menteri Besar itu untuk membatalkan perkara tersebut.

"Saya meneliti laporan dan aduan berkenaan tindakan Kerajaan Selangor yang telah melakukan penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) pada bulan Mei yang lalu.

"Ingin ditegaskan keputusan yang dibuat ini masih belum dimaklumkan kepada pimpinan parti," katanya.

Pada masa sama, Anwar berkata pihaknya turut maklum bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor juga telah menolak cadangan tersebut.

Mac tahun lalu, Amirudin memaklumkan dua syarikat telah mencadangkan untuk membangunkan kawasan Hutan Simpan Kekal Kuala Langat Utara, iaitu Titian Jutaria Sdn Bhd dan Menteri Besar Incorporated Selangor (MBI Selangor) yang mana ia mendapat bantahan daripada pelbagai pihak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram