Usah mudah terpedaya dengan sindiket penipuan – Raja Muda Perlis


  • Massa
  • Khamis, 02 Sep 2021

TUANKU Syed Faizuddin menasihati orang ramai supaya berwaspada untuk mengelakkan menjadi mangsa sindiket penipuan. —The Star

AKTIVITI penipuan pelaburan yang tidak wujud, penyamaran menerusi panggilan telefon, penipuan pembelian secara dalam talian, penipuan tawaran kerja serta penipuan pinjaman antara sindiket penipuan yang aktif ketika ini.

Selaras itu, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah supaya orang ramai sentiasa berwaspada dan tidak mudah diperdaya sehingga menjadi mangsa sindiket itu.

“Mereka (sindiket penipuan) menggunakan nama-nama individu berpengaruh dalam masyarakat dan menyamar sebagai pegawai agensi penguat kuasa bagi menipu mangsa,” titah baginda dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) pada Khamis.

Dalam kenyataan sama, Ketua Polis Daerah Kangar Supritendan Wari Kiew berkata, jumlah kes penipuan membabitkan pembelian barang dan perkhidmatan secara dalam talian semakin meningkat sejak kebelakangan ini iaitu dalam tempoh pandemik Covid-19.

Lantaran itu, Kiew meminta orang ramai supaya lebih berhati-hati dan peka terhadap sindiket seumpama itu.

Kenyataan tersebut turut memaklumkan bahawa Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua MAIPs berkenan menyampaikan sumbangan sagu hati kepada 38 bekas amil zakat MAIPs pada Khamis.

Sumbangan itu disampaikan secara simbolik kepada wakil mereka iaitu bekas amil, Razali Ismail yang berkhidmat selama tujuh tahun untuk kariah Masjid Al-Barakah Kampung Jelempok, Arau di rumah beliau yang terletak tidak jauh dari masjid berkenaan.

Hadir mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor. —Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram