Awas sindiket jual minyak precatoria, dijadikan vaksin Covid-19


  • 112
  • Jumaat, 27 Ogos 2021

PDRM gesa orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berkaitan penipuan vaksin Covid-19. — Bernama

POLIS Diraja Malaysia menerima aduan daripada orang ramai yang kerugian lebih RM100,000 setelah terpedaya untuk membeli bahan organik minyak precatoria yang didakwa bokeh menghasilkan vaksin Covid-19.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, pihaknya telah menerima lima aduan daripada mangsa melibatkan kerugian RM128,498.

Beliau berkata berdasarkan siasatan modus operandi yang digunakan sindiket berkenaan adalah dengan menghantar e-mel kepada syarikat yang disasarkan dan menawarkan penjualan minyak precatoria.

"Mana-mana syarikat yang berminat kemudian diminta membuat pembayaran ke dalam akaun yang diberikan (akaun keldai) bagi tujuan membeli sampel minyak tersebut yang didakwa bagi menghasilkan vaksin Covid-19.

"Bagaimanapun, selepas melakukan pembayaran, mangsa tidak menerima sebarang sampel yang dijanjikan dan sindiket gagal dihubungi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam usaha menangani pandemik Covid-19 ketika ini, Mohd Kamarudin berkata PDRM tidak menolak kemungkinan terdapat sindiket penipuan yang cuba menangguk di air keruh dengan menjadikan isu-isu berkaitan COVID-19 sebagai modal meraih keuntungan.

"PDRM menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan berwaspada. Pihak kerajaan sentiasa memberi keutamaan dalam sebarang inisiatif menangani COVID-19 sama ada dari segi pemberian vaksin mahupun kajian pembangunan vaksin.

"Sewajarnya mana-mana individu mahupun syarikat yang ingin terlibat merujuk kepada agensi kerajaan yang berkaitan sebelum membuat keputusan," katanya.

Mohd Kamarudin berkata, PDRM juga menggesa orang ramai menyalurkan sebarang maklumat mengenai penipuan penjualan bahan-bahan organik dalam menghasilkan vaksin COVID-19 kepada polis agar tindakan segera dapat diambil. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram