TINDAKAN beberapa ahli Parlimen yang mengemukakan 15 usul menukar Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun adalah tidak beretika khususnya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Penganalisis politik veteran, Profesor Dr Ahmad Atory Hussain berkata, kuasa melantik seseorang Speaker tertakluk kepada kerajaan yang memerintah.
"Pada pandangan saya, kerajaan tidak akan bersetuju untuk menukar Azhar tetapi usul itu perlu diterima memandangkan menepati syarat minima untuk dibahaskan iaitu 15 usul.
"Saya juga difahamkan tiada calon Speaker daripada blok pembangkang dan saya rasa proses pertukaran juga tidak boleh dibuat memandangkan mereka perlu menghantar notis dua minggu sebelum persidangan bermula.
"Tetapi semua ini bergantung kepada Parlimen untuk terima atau tidak notis tersebut," katanya kepada Majoriti.
Media pada Rabu melaporkan peranan Azhar sebagai Speaker telah menjadi pertikaian beberapa ahli Dewan Rakyat yang mendakwa beliau tidak berani membuat keputusan mengikut Perlembagaan dan hanya menuruti arahan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Badan Eksekutif.
Antara pembangkang yang mempertikaikan peranan Azhar adalah Ahli Parlimen Shah, Khalid Abdul Samad; Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N.Rayer dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ram Karpal.
Dalam pada itu, Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin berkata, kemungkinan besar usul sedemikian diusulkan daripada blok pembangkang yang memang tidak bersetuju dengan pelantikan Azhar sejak dari awal lagi.
"Mereka lebih menggemari bekas Speaker, Tan Sri Mohamad Ariff Md. Yusof kerana anaknya bekerja dengan DAP. Ada dalam kalangan pembangkang tolak Azhar kerana menyokong Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said untuk ganti beliau," dakwanya.
Ketika ditanya sama ada bidang kuasa menolak usul wajar terus diberikan kepada Speaker, kata Shamsul Amri: "Sebenarnya peranan dan tanggungjawab Speaker sudah digariskan dengan jelas dalam peraturan Dewan Rakyat.
"Namun beliau ada kuasa mentafsir sesuai dgn peraturan yang sedia. Ada pihak tidak bersetuju dengan tafsiran speaker dan membantah tetapi tidak ada pengadilan menentukan tafsiran siapa yang boleh diterima," jelasnya.
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram