Kibar bendera putih: 'Akhirnya 2021, rakyat hidup tanpa bekalan air'


  • Tular
  • Khamis, 02 Sep 2021

LUAHAN Dex Dannish di Facebooknya terhadap masalah air yang dihadapi sekian lama. — Facebook.

AIR menjadi keperluan asas terpenting dalam kehidupan bagi memastikan segala urusan dan keperluan dapat dilakukan dengan sempurna.

Tanpa bekalan air segalanya akan terjejas dan situasi itu yang sedang dihadapi penduduk di University Condo Apartment 2 (UCA2) di Sabah yang kini berada dalam Perintah Kawalan Diperketatkan (PKPD).

Dalam satu status Facebook, Dex Danish yang juga salah seorang penghuni UCA2, dia sudah cukup sabar dan terpaksa mencatu air sejak bulan Jun lalu.

Katanya, tindakannya memuat naik status di Facebook bukan mahu mencari publisiti sebaliknya lebih kepada menjelaskan situasi sebenar sedang dihadapi.

dex

Luahan salah seorang penghuni UCA2.

“Gah kita canang sebelum Wawasan 2020 sebagai antara negara membangun termaju di Asia Tenggara. Bangganya dengan kereta nasional sendiri, litar sepang, bangunan berkembar antara tertinggi di dunia.

“Akhirnya 2021, rakyat hidup tanpa bekalan air. Tragis kan! Nak kata sabar, rasanya tahap kesabaran penghuni UCA2 sudah melebihi tahap maximum, kalau masih ada yang bertahan, Alhamdulillah.

“Mengharap sinar terang di hujung terowong agar PKPD ditamatkan pada 21hb Ogos tapi apakan daya tiada sudahnya. Malah dilanjutkan sehingga 4 September.

“Pagi ini mulalah operasi lori dengan dua tangki biru membawa bekalan air. Terkejut apabila salah seorang penghuni bersuara dalam Group Telegram “saya ini positif covid, tak kanlah saya terpaksa turun dari tingkat 4 untuk angkat air.

“Tak pasal-pasal ada pulak kluster air UCA2. Saya respect dengan penghuni ini bersikap jujur dan faham SOP kuarantin kendiri. Tapi bagaimana dengan nasib dia tanpa bekalan air,” katanya.

Malah Dex Danish turut menjelaskan penduduk di UCA2 kini seakan bingung apabila tidak menerima jawapan jelas berhubung ketiadaan sumber bekalan air.

“Bila ditanya dengan pihak pengurusan UCA2 berkaitan masalah air jawapannya ini kesilapan daripada Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) sebab tiada bekalan air masuk ke tangki utama UCA2.

“Bila ditanya dengan JANS, tiada aduan daripada pihak pengurusan UCA2. Entah siapa betul, masing-masing berusaha menegakkan benang separa basah,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

air, Sabah, PKPD, Dex Danish