
TINDAKAN kerajaan mengenakan syarat mereka yang lengkap dua dos vaksin saja dibenarkan untuk menikmati sektor ekonomi dengan skop lebih luas bukanlah tindakan diskriminasi, kata Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar.
Menurut beliau, syarat itu ditetapkan adalah berdasarkan undang-undang kesihatan awam yang mana kerajaan perlu mengambil kira kepentingan majoriti penduduk di negara ini.
"Memang pengambilan vaksin tidak wajib bagi setiap orang, tapi dalam keadaan jumlah kes yang tinggi dan pertambahan kluster baharu, jadi kepentingan menjamin kesejahteraan komuniti itu lebih besar lagi.
"Cara untuk mengatasinya adalah dengan mempertingkatkan lagi peratusan vaksinasi. Buat masa sekarang ini mana-mana tempat yang dirasakan tidak selamat untuk orang yang tidak ambil vaksin, kita tidak akan benarkan mereka masuk atas dasar keselamatan dia dan juga orang lain.
"Ini bukan soal disriminasi...sama ada ia adil atau tidak, penjelasannya telah diberikan," katanya kepada Majoriti.
Dr Zainal Ariffin Omar — Foto Bernama
Beliau berkata, banyak fakta telah membuktikan bahawa pengambilan vaksin mampu menyelamatkan diri penerima dan orang di sekeliling.
"Konsepnya sama seperti memakai tali pinggang keledar. Sama ada anda mahu pakai atau tidak, terpulang.
"Tapi kalau pakai anda selamat dari undang-undang dan sebarang kejadian yang tidak diingini.
"Begitu juga dengan vaksin..kalau ambil, insya-Allah akan selamat, orang lain pun selamat. Tapi kalau tidak mahu ambil, tidak bolehlah mahu dapat seperti mana orang yang ambil vaksin dapat," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, kelonggaran bagi golongan antivaksin mungkin boleh diberikan sekiranya negara telah berjaya mencapai vaksinasi yang tinggi meliputi semua golongan sasaran.
"Kalau semua dah divaksin atau tahap vaksin sudah tinggi, saya setujulah golongan antivaksin ini diberi kelonggaran kerana ketika itu ia lebih kepada melindungi golongan tidak ada vaksin dan tak akan menjejaskan keselamatan orang lain memandangkan golongan anti vaksin hanya dalam lima peratus.
"Tapi buat masa sekarang belum lagi. Ini bukan soal diskriminasi tapi masalah keselamatan kesihatan orang ramai," katanya.
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram