MEDAN perang Covid-19 kini telah beralih ke negeri-negeri di luar Lembah Klang yang berdepan dengan peningkatan jumlah jangkitan mendadak sejak kebelakangan ini.
Selain mempercepat program vaksinasi, pakar kesihatan menggesa kerajaan dan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk segera membendung penularan wabak itu.
Pakar Epidemiologi dan Kesihatan Awam Universiti Malaya, Profesor Dr Sanjay Rampal Lekhraj Rampal berkata, strategi mesti disesuaikan dan fokus kepada masyarakat tertentu dalam sesuatu wilayah.
“Komunikasi yang jelas, responsif dan menarik bersama masyarakat setempat adalah penting.
“Peningkatan kes ini adalah unik kerana setiap wilayah mungkin berdepan dengan kaedah yang berbeza kerana terdapatnya perbezaan dalam masyarakat setempat.
"Sebagai contoh, masyarakat di luar bandar Sabah akan mempunyai keperluan yang berbeza berbanding dengan Johor," tambahnya.
Prof Sanjay berkata, sistem penjagaan kesihatan di kawasan yang berlainan juga perlu bersedia untuk bertindak balas segera.
Sudah terlambat jika kita menunggu hospital diisi sebelum mengambil tindakan mitigatif, dakwa Prof Dr Sanjay.
"Bendera peringatan (red flag) untuk sistem rawatan kesihatan yang berlebihan perlu berasaskan indikator hulu seperti penangguhan kes pengasingan dan kuarantin kontak rapat oleh pejabat kesihatan daerah berbanding mengurangkan kapasiti oksigen di hospital.
“Sudah terlambat jika kita menunggu hospital diisi sebelum mengambil tindakan mitigatif,” katanya.
Tambahnya, sistem pengasingan dan kuarantin di rumah yang efektif adalah penting untuk dikekalkan.
Katanya, kerajaan juga harus mempertimbangkan penempatan kakitangan kerajaan dari kementerian lain ke KKM bagi membantu aktiviti mencegah penularan Covid-19.
Pada 1 Ogos, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya membentuk 49.5 peratus daripada jumlah jangkitan baharu yang dicatatkan.
Namun sebulan kemudian pada 31 Ogos, jumlah kes harian baharu di Lembah Klang menurun kepada 25.8 peratus daripada jumlah keseluruhan.
Dalam tempoh sama, Sabah menyaksikan jumlah kesnya meningkat dua kali ganda dan jumlah jangkitan baharu meningkat dari 5.8 peratus pada 1 Ogos kepada 12.4 peratus pada 31 Ogos.
Sarawak juga menyaksikan peningkatan jumlah kes empat kali ganda dengan 3.4 peratus pada 1 Ogos kepada 10.9 peratus pada 31 Ogos, sementara kes baharu di Johor meningkat dari 6.1 peratus menjadi 10.3 peratus dan jumlah kesnya juga meningkat dua kali ganda dalam sebulan.
Sementara itu, Pakar Epidemiologi dan Biostatistik, Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Prof Dr Jamalludin Ab Rahman berkata, kerajaan sudah mengambil langkah bagi membendung peningkatan jangkitan di negeri-negeri selain Lembah Klang.
Sebagai contoh katanya, vaksinasi adalah kaedah utama bagi memberi tindak balas ke atas pandemik.
Katanya, pihak berwajib juga harus meneruskan pengesanan kontak rapat.
“Apabila terdapat banyak kelompok, proses pengesanan, pengujian dan pengasingan harus dilakukan. Kerajaan dapat menggerakkan pegawai kesihatan yang relevan selain menambah aset seperti ambulans.
“Kerajaan juga harus menggalakkan orang ramai terlibat secara aktif bagi menangani wabak, termasuk membantu NGO (badan bukan kerajaan) untuk mendidik masyarakat serta terlibat dalam pengesanan kontak rapat,” katanya.
Prof Dr Jamalludin berkata, pihak berwajib juga harus meneruskan pengesanan kontak rapat.
Beliau berkata, kerajaan juga menghadapi kekangan dalam penyediaan vaksin, meskipun sudah mula menggerakkan stok yang ada ke negeri-negeri berkeperluan tinggi.
“Langkah seterusnya adalah memastikan akses program vaksinasi dinilai berdasarkan negeri ke negeri kerana tidak semua negeri memiliki masalah yang sama.
“Negeri-negeri seperti Sabah mungkin memerlukan langkah-langkah lebih proaktif, yang mana pasukan vaksinasi mungkin perlu menemui orang ramai,” tambahnya.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau menyasarkan kadar vaksinasi sekurang-kurangnya 50 peratus bagi golongan dewasa untuk enam negeri pada akhir September.
Dengan adanya laporan mengenai kekurangan vaksin di beberapa negeri, beliau telah mengarahkan kementerian berkaitan menggunakan stok vaksin yang sedia ada dan bukannnya menunggu ketibaan vaksin.
Jumlah dos harian yang diberikan juga berkurang, dengan 261,768 diberikan pada 31 Ogos berbanding 480,122 dos yang diberikan pada 1 Ogos. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram