Wujud peluang pekerjaan, khidmat terbaik antara misi Shahidan


  • Primer
  • Rabu, 01 Sep 2021

SHAHIDAN akan mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak untuk menambah baik usaha dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat. — The Star

MEMBERI perkhidmatan kepada rakyat tanpa berlengah dan mewujudkan peluang pekerjaan terutama kepada keluarga miskin menjadi misi Menteri Wilayah Persekutuan yang baharu.

Itu antara matlamat Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, untuk tempoh 100 hari beliau menyandang jawatan itu.

Menurutnya, beliau akan mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak untuk menambah baik usaha dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat.

Sesi itu turut menitikberatkan pembangunan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bagi manfaat warga Wilayah Persekutuan.

Jelas beliau, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan adalah bandaraya sejahtera dan sebarang pembangunan harus dimanfaatkan warganya.

"Selain itu, kita juga perlu mencerminkan imej kerajaan Malaysia serta menampilkan konsep 'Keluarga Malaysia' yang bertolak-ansur dan memberi manfaat menang-menang.

"Contohnya memberi perkhidmatan terbaik dari segi vaksinasi melepasi 100 peratus dan memberi pertolongan kepada 16,000 warga termiskin serta mencari jalan mewujudkan peluang pekerjaan dalam bentuk perniagaan kecil," katanya.

Tambah beliau lagi, pendekatan pembangunan tidak mengganggu keselesaan yang dinikmati rakyat sekarang adalah usaha yang akan diambil olehnya.

Hurai beliau lagi, perkhidmatan perlu diperbaiki secara berfasa asalkan hak keselesaan itu tidak hilang.

"Perancangan akan diteruskan untuk menjadikan pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu sebagai tarikan pelancongan.

"Perhatian juga akan diberikan untuk mempelbagaikan tanaman khususnya bagi tujuan pendidikan termasuk herba dan spesies popular suatu ketika dahulu yang kini hampir pupus seperti asam gelugur dan buah asam," ujarnya ketika melawat beberapa kawasan rekreasi di Putrajaya seperti Dataran Putra, Putrajaya Steps dan Taman Botani.

Shahidan juga memberitahu, pengambilan pekerja asing untuk menjaga dan menguruskan taman awam juga perlu dilihat semula kerana orang tempatan boleh melakukan pekerjaan itu. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram