Gangguan bekalan air di 463 kawasan Selangor, Putrajaya


  • Primer
  • Selasa, 31 Ogos 2021

PENGGUNA boleh mendapatkan senarai kawasan yang terlibat menerusi laman sesawang Air Selangor. — The Star

GANGGUAN bekalan air tidak berjadual dijangka menjejaskan sebanyak 463 kawasan, selepas Loji Rawatan Air Sungai Semenyih dihenti tugas berikutan pencemaran bau, kata Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor),

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor, Elina Baseri berkata pencemaran itu dikesan di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir pada 11.10 pagi Selasa.

Beliau berkata, gangguan bekalan air itu meliputi lima wilayah Air Selangor iaitu 172 kawasan di Petaling, Hulu Langat (54), Sepang (194), Putrajaya (23) Kuala Langat (20).

Katanya pengguna boleh mendapatkan senarai kawasan yang terlibat menerusi laman sesawang Air Selangor di www.airselangor.com serta aplikasi Air Selangor.

"Air Selangor sedang bekerjasama dengan Lembaga Urus Air Selangor (Luas), bagi mengenal pasti punca pencemaran air mentah di sepanjang Sungai Semenyih dan anak-anak sungai di sekitar sungai berkenaan.

"Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) juga telah diaktifkan bagi menyediakan bantuan bekalan air kecemasan kepada para pengguna terlibat.

“Air Selangor amat memahami situasi para pengguna yang memerlukan air bersih terutama semasa peningkatan kes COVID-19. Air Selangor sedang mengambil segala usaha bagi meminimakan impak gangguan kepada para pengguna yang terjejas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan insiden itu dari semasa ke semasa, dan pengguna boleh merujuk semua saluran komunikasi rasmi syarikat itu seperti Facebook, Instagram dan Twitter, atau menghubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram