Rayu pekerja kilang dibenarkan semula bekerja sebelum tempoh 14 hari dos kedua vaksin


  • Massa
  • Jumaat, 27 Ogos 2021

MFA keliru dengan keputusan PBT Muar yang bercanggah dengan garis panduan MITI. — BERNAMA

PERSATUAN Perabot Muar (MFA) di Johor merayu pihak berkuasa tempatan (PBT) di daerah itu membenarkan pekerja kilang yang sudah lengkap dos kedua vaksin Covid-19 kembali bekerja tanpa perlu menunggu tempoh 14 hari selepas vaksinasi.

Presiden MFA, Steve Ong berkata, beliau keliru dengan keputusan PBT Muar untuk tidak membenarkan pekerja kembali bekerja sedangkan menurut Sistem Pengurusan Pintar Covid-19 (CIMS), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyatakan dengan jelas bahawa pekerja yang telah menerima dua dos vaksin dibenarkan bekerja tanpa perlu menunggu tempoh tersebut.

"Dalam garis panduan Soalan Lazim MITI juga dinyatakan bahawa pekerja tidak dipaksa untuk menunggu selama 14 hari selepas lengkap divaksin.

"Namun, apa yang mengelirukan kami mengapa PBT Muar tetap mengekalkan keputusan bahawa pekerja yang lengkap divaksin wajib menunggu tempoh tersebut sebelum kembali bekerja,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur yang turut berada dalam Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) juga mengikut garis panduan tersebut, yang menyatakan industri bukan dalam perkhidmatan perlu atau non-essential dibenarkan beroperasi dengan syarat pekerja lengkap divaksin dan menyenaraikannya di dalam CIMS, selain memohon dokumen kelulusan CIMS dan beroperasi mengikut kadar peratusan pengoperasian tanpa perlu menunggu 14 hari.

Katanya, terdapat banyak syarikat terutama perusahaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana terkesan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PPN hampir tiga bulan akibat pandemik Covid-19.

"Aliran modal mereka terhad dan kini berada dalam keadaan yang amat kritikal,” katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram