Kes positif Covid-19 kembali lepasi angka 20,000


  • Primer
  • Selasa, 31 Ogos 2021

SELANGOR kekal mencatatkan kes harian Covid-19 tertinggi dengan jumlah kes sebanyak 4,371 kes. — Agensi

KES Covid-19 hari ini dilaporkan kembali meningkat sebanyak 20,897 kes positif berbanding 19,268 kes semalam menjadikan jumlah keseluruhan kes kini dicatatkan sebanyak 1,746,254 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, menerusi hantaran di akaun Facebook beliau berkata kekal menjadi negeri yang mencatatkan kes harian tertinggi dengan 4,371 kes yang direkodkan meningkat setelah turun kepada 3,567 kes, semalam.

Lapan lagi negeri turut melaporkan kes empat angka iaitu Sarawak dengan 2,285 kes, Sabah (2,594), Johor (2,159), Kedah (1,942), Pulau Pinang (1,732), Kelantan (1,479), Perak (1204) dan Kuala Lumpur dengan 1,003 kes.

Negeri lain turut melaporkan kes baharu iaitu Pahang (798, Terengganu (608), Melaka (417), Negeri Sembilan (215), Perlis (64), Putrajaya (25) dan satu kes di Labuan.

Daripada 20,897 kes baharu yang direkodkan, sebanyak 8,339 kes berada dalam kategori satu iaitu golongan yang tidak bergejala. 12,136 kes pula direkodkan dalam kategori dua (mempunyai gejala ringan) manakala 224 kes mempunyai simptom radang paru-paru (kategori tiga).

Bagi kategori empat (perlu bantuan oksigen) 119 kes direkodkan menjadikan selebihnya 79 kes adalah dalam kategori terakhir iaitu berada pada tahap kritikal dan memerlukan ventilator.

Dalam pada itu, jumlah pesakit pulih direkodkan seramai 18,465 orang menjadikan kumulatif kes sembuh adalah 1,461 727 manakala kes aktif kini 267,863.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan bahawa sejumlah 1,005 pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 464 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan. Jumlah kematian hari ini juga direkodkan sebanyak 282 orang.

Setakat ini juga, seramai 34,490,572 rakyat Malaysia direkodkan sudah menerima vaksin dengan 14.9 juta daripada mereka telah lengkap dua dos dan selebihnya, 19.6 juta orang telah menerima dos pertama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Covid-19, kes harian