Konsep Keluarga Malaysia langkah tepat


  • Politik
  • Selasa, 31 Ogos 2021

MUHYIDDIN berkata Bersatu akan sentiasa berazam dan bertekad memperkasakan amalan politik khidmat bakti kepada rakyat di semua peringkat.

PENDEKATAN konsep Keluarga Malaysia bertepatan bagi memelihara keharmonian antara rakyat Malaysia yang berbilang agama, bangsa dan budaya, kata bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau menyambut baik konsep yang diketengahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam ucapan sulungnya yang mengajak semua pihak termasuk Ahli Parlimen pembangkang untuk bersama-sama memulihkan ekonomi dan menangani penularan pandemik Covid-19 secara menyeluruh.

Menurut Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, beliau yakin bahawa barisan Jemaah Menteri yang baru dilantik mampu mentadbir negara selari dengan aspirasi rakyat yang mahukan proses pemulihan negara berjalan lancar dan inklusif.

Jelas beliau dalam satu kenyataan pada Selasa, dalam mendukung tema Hari Kebangsaan 2021 iaitu Malaysia Prihatin, pihaknya akan sentiasa berazam dan bertekad memperkasakan amalan politik khidmat bakti kepada rakyat di semua peringkat.

"Bersatu akan sentiasa prihatin dengan suara rakyat dan membantu mereka yang masih terkesan akibat pandemik Covid-19 yang melanda negara.

“Kami juga menyeru kepada semua pihak supaya memperbaharui iltizam nasional secara kolektif untuk terus fokus kepada agenda membangunkan negara dan membela tanpa mengira perbezaan yang ada.

"Usaha yang berterusan juga perlu dilaksanakan bagi mengukuhkan perpaduan antara rakyat Malaysia yang majmuk dan seterusnya menjadi pemangkin atau pemacu kepada kemajuan negara pada masa hadapan. Hal ini juga merangkumi segala aspek seperti ekonomi, pendidikan dan sosial," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram