4 orang saja boleh jatuhkan kerajaan


  • Politik
  • Selasa, 31 Ogos 2021

AHMAD Zamri mengulas tentang keperluan akta lompat parti. — Agensi

AKTA Mencegah Lompat Parti perlu segera diwujudkan bagi mengelak kestabilan politik tergugat seperti yang berlaku sebelum ini.

Perkara itu disuarakan Biro Undang-Undang (Kanun) Amanah, Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi yang memberitahu bahawa isu lompat parti perlu dikekang kerana impaknya boleh menggugat ketenteraman awam.

Katanya, penggubalan akta berkenaan tidak bercanggah dengan Perkara 10(1) (c) Perlembagaan Persekutuan berhubung kebebasan seseorang untuk berpersatuan.

"Undang-undang bukannya untuk mempertahankan kebebasan asasi individu atau parti politik tertentu yang mempunyai kepentingan tetapi berperanan untuk melindungi hak majoriti rakyat secara keseluruhan.

“Kerajaan sekarang boleh dijatuhkan jika empat orang sahaja ahli Parlimen menarik balik sokongan atau melalui undi tidak percaya di Dewan Rakyat. Hal ini boleh menyebabkan kedudukan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob goyah.

Tambahnya jika perkara itu berlaku, maka rakyat yang akan menjadi mangsa sekali lagi akibat kerakusan, gila kuasa dan sikap mementingkan diri sendiri yang ditunjukkan oleh ahli-ahli Parlimen ini.

Jelas beliau lagi, parti Amanah merasakan sudah sampai masa Akta Mencegah Lompat Parti diwujudkan pada segera bagi mengekang perilaku jelek para politikus.

"Kepercayaan rakyat ke atas proses demokrasi yang diamalkan pastinya akan terhakis sekiranya seseorang mengubah pendirian atau melompat ke parti lain dengan dijanjikan tawaran atau habuan.

"Perkara ini dikhuatiri menyebabkan rakyat memilih cara lain yang boleh memudaratkan keselamatan negara jika ia tidak dibendung. Ia juga boleh mengakibatkan rakyat hilang kepercayaan terhadap proses pilihan raya akibat sikap segelintir wakil rakyat yang melompat," ujarnya.— Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram