Zahid cuti sakit, mahkamah tangguh bicara kes rasuah


ZAHID berdepan 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara. — Bernama

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu membenarkan penangguhan prosiding kes sebanyak 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) membabitkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sepatutnya dijadualkan pada Rabu dan Khamis kerana bekas Timbalan Perdana Menteri itu masih dalam cuti sakit.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Yazid Mustafa menetapkan perbicaraan diteruskan pada 28 September, 22 Oktober, 18 dan 19 November serta 20 hingga 24 Disember depan selepas membenarkan permohonan yang dikemukakan oleh pihak pembelaan.

Menurutnya, mahkamah menerima permohonan untuk menangguhkan perbicaraan daripada pihak pembelaan pada 23 Ogos lalu berserta sijil cuti sakit.

Beliau berkata, ia turut disertakan dengan pengesahan daripada doktor pakar dari Avisena Specialist Hospital, Shah Alam, Dr Mohd Shahir Anuar, ketika prosiding kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, minggu lalu.

“Isu sama ada klinik swasta atau kerajaan, terjawab apabila doktor pakar itu hadir di mahkamah dan mahkamah dapati bahawa isu kesihatan yang dikemukakan disahkan doktor itu sendiri,” katanya.

Katanya, berasaskan kandungan sijil kesihatan secara prima fasie, menunjukkan bahawa tertuduh tidak layak untuk hadir prosiding sehingga 4 September.

Dalam pada itu, Mohd Yazid mengingatkan bahawa tarikh yang telah dikemukakan adalah tarikh yang dipersetujui oleh kesemua pihak.

“Pastikan, pada tarikh itu kes berjalan seperti biasa dan mana-mana penangguhan adalah tidak dibenarkan,” katanya.

Sementara itu, peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahli Parlimen Bagan Datuk itu semasa prosiding berkata, Dr Mohd Shahir menyatakan bahawa Zahid memerlukan masa antara empat hingga enam minggu untuk berehat.

Namun selepas perbincangan, tempoh diberi adalah dua minggu dan anak guamnya itu perlu hadir di mahkamah pada 6 September ini.

“Ahmad Zahid dimasukkan ke hospital dan beliau menerima cuti sakit bertarikh 26 Ogos sehingga 4 September ini.

“Namun anak guam saya hadir hari ini atas inisiatif sendiri, sekali gus menunjukkan bahawa beliau komited berhubung isu kehadiran dan tidak mengetepikan mahkamah,” katanya.

Justeru, beliau berkata, pihak pembelaan memohon kepada mahkamah agar perbicaraan kes dilapangkan dan memohon tarikh baharu untuk prosiding kes.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, pihak pendakwaan bersedia untuk meneruskan perbicaraan dengan saksi-saksi sedia ada.

“Selain itu, pihak pendakwaan berharap agar surat sijil cuti sakit dikeluarkan oleh hospital atau klinik kerajaan sahaja.

“Sebagaimana sedia maklum, sijil cuti sakit daripada hospital swasta tidak boleh digunakan untuk prosiding mahkamah,” katanya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram