EKSKLUSIF

Belia perlu jadi pemimpin dalam organisasi Keluarga Malaysia


  • Massa
  • Rabu, 01 Sep 2021

BELIA yang terdiri daripada golongan muda juga mempunyai idea dan perlu diberi peluang mengkomposisi kepimpinan negara. — Majoriti

SEKURANG-KURANGNYA 30 peratus belia perlu diberikan peluang untuk menjadi sebahagian daripada kepimpinan negara menerusi Keluarga Malaysia, kata pakar.

Lantaran itu, sudah tiba masanya kerajaan mengetengahkan golongan belia di dalam struktur komuniti organisasi dan struktur Malaysia termasuk pembabitan mereka bagi mengkomposisi Kabinet, Parlimen serta sebagai senator dalam Dewan Negara.

Malah, belia juga perlu diberi peluang berada dalam kepimpinan organisasi sama ada di peringkat syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan institusi swasta.

Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Mohd Mursyid Arshad berkata, terdapat keperluan sinergi atau usaha sama antara golongan dewasa dan belia, yang mana orang dewasa memiliki wisdom atau pengetahuan berasaskan pengalaman manakala belia pula mempunyai pelbagai idea.

“Tetapi, akan jadi lebih cantik jika ada gabungan antara wisdom dan idealistic ini untuk membuat satu keputusan dan secara tidak langsung akan membawa belia ini kepada pembangunan negara,” katanya kepada Majoriti.

Mengulas mengenai praktis dalam Keluarga Malaysia, Mohd Mursyid berkata, kerajaan disaran untuk memperbanyakkan lagi program Town Hall iaitu program terus antara kerajaan dan rakyat menerusi pelbagai medium platform, media sosial, media elektronik, agensi-agensi kerajaan, persatuan-persatuan belia dan agensi swasta.

Memberi contoh agensi swasta, beliau berkata, pembabitannya dalam Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) penting dalam mewujudkan Keluarga Malaysia, yang mana suntikan dana juga boleh datang daripada agensi terbabit.

“Jadi, perlu lebih banyak lagi program-program Town Hall, program -program refleksi dua hala antara kerajaan dan belia dan pada masa sama kerajaan juga akan mendengar hasrat belia ini sendiri,” katanya.

Bagi membolehkan Undi 18 dilaksanakan, kata Mohd Mursyid, kerajaan dalam Keluarga Malaysia juga disyorkan untuk menerapkan lebih banyak program-program literasi politik supaya individu berumur 18 tahun boleh jadi pengundi yang baik, matang serta boleh buat keputusan.

Katanya, ini juga bagi mengelakkan mereka dimanipulasi dan hanya bermain dengan emosi.

“Sekiranya kerajaan benar-benar serius untuk mewujudkan penglibatan anak muda dalam Keluarga Malaysia, satu Special Task Force perlu diwujudkan untuk menggalakkan belia jadi seorang pengundi yang baik dan untuk literasi politik.

“Ia penting supaya belia dapat bersama-sama dalam proses demokrasi dan secara tak langsung dapat mewujudkan patriotisme dalam kalangan mereka,” katanya.

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

belia, pemimpin, Keluarga Malaysia