Tikam leher ayah kandung, tertuduh diarah jalani pemeriksaan psikiatri


TERTUDUH yang dipercayai pesakit mental dilaporkan berang apabila anak saudaranya menangis sebelum bertindak menikam leher bapanya.

SEORANG lelaki yang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Kota Bharu, Kelantan pada Rabu atas pertuduhan cuba membunuh bapa kandungnya diperintah menjalani pemeriksaan psikiatri di hospital.

Tertuduh, Muhamad Nur Amin Azmail, 28, didakwa atas pertuduhan dengan pengetahuan cuba membunuh ayahnya, Azmail Mohd Salmon, 66, dengan cara menikam bahagian leher mangsa menggunakan sebilah pisau di sebuah rumah dekat Bachok, pada 10.40 pagi, 24 Ogos lepas.

Penganggur itu didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry memaklumkan bahawa tertuduh telah menjalani rawatan psikiatri di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) sejak lima tahun lepas dan memohon supaya tertuduh dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak untuk menjalani pemeriksaan psikiatri.

Hakim Ahmad Bazli Bahruddin membenarkan permohonan itu dan menetapkan 30 September ini untuk sebutan semula kes Muhamad Nur Amin yang tidak diwakili peguam itu.

Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki dipercayai pesakit mental menikam ayahnya kerana berang anak saudaranya menangis, dan bertindak menikam ayahnya sehingga mangsa mengalami kecederaan di leher kanan, bahagian atas kepala, telinga kiri dan tapak tangan kiri. Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram