Korbankan aset, liabiliti demi tempuhi cabaran ekonomi


  • Massa
  • Selasa, 31 Ogos 2021

RAKYAT kena bijak berbelanja ketika mendepani cabaran pandemik Covid-19. — Bernama

MELEPASKAN aset berlebihan atau barangan bukan keperluan yang menjadi beban kewangan antara pengorbanan yang perlu dilakukan rakyat Malaysia dalam mendepani cabaran ekonomi pasca Covid-19, kata pakar ekonomi.

Kata mereka langkah itu dapat mengurangkan komitmen bulanan, sekali gus membolehkan rakyat bernafas sementara menunggu ekonomi negara pulih.

Pensyarah Kanan Ekonomi, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi Mara Cawangan Terengganu Noorazlina Ahmad, rakyat Malaysia boleh menjadikan pengorbanan generasi terdahulu mencapai kemerdekaan negara sebagai inspirasi untuk mengharungi pandemik Covid-19.

Beliau berkata cabaran ekonomi pasca pandemik Covid-19 sangat getir untuk rakyat Malaysia walaupun pelbagai inisiatif telah dilaksanakan kerajaan sejak tahun lepas.

Katanya 'penjajahan' kali ini tidak memerlukan rakyat Malaysia mengangkat senjata di medan perang sebaliknya perlu mengatur strategi untuk memajukan ekonomi keluarga agar tidak jatuh di bawah kelompok kemiskinan.

"Wang komitmen bulanan yang dikurangkan tersebut boleh disimpan dalam tabungan tunai atau dijana dalam kitaran ekonomi negara dengan membantu jualan usahawan IKS (industri kecil dan sederhana) serta peniaga mikro tempatan.

"Krisis ekonomi sangat teruk dan ini terbukti dengan penurunan keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang menyusut sebanyak 17.1 peratus pada suku kedua tahun 2020.

"Oleh itu, setiap individu sama ada kategori T20, M40 atau B40 bertanggungjawab memainkan peranan masing-masing untuk memacu semula pertumbuhan ekonomi negara. Inilah perjuangan kita untuk Malaysia yang menyambut Hari Kebangsaan ke-64 tahun ini," katanya.

Sependapat dengan beliau, rakan sejawatnya, Nur Azwani Mohamad Azmin yang berharap rakyat Malaysia terus fokus dalam memperkukuhkan ekonomi dengan memanfaatkan sepenuhnya bantuan kerajaan serta kemudahan teknologi digital yang canggih ketika ini.

"Berusahalah untuk menambah pendapatan sampingan keluarga. Cari mentor sekiranya mahu memulakan perniagaan atau menceburi bidang keusahawanan. Kurangkan pinjaman peribadi baharu dan pembelian kereta baharu.

"Pembelian emas perhiasan baharu juga perlu dikurangkan kerana ia agak sukar dicairkan terutama di waktu kecemasan yang memerlukan tunai. Inilah antara pengorbanan yang boleh dilakukan rakyat Malaysia untuk sementara waktu sehingga ekonomi dunia kembali pulih," katanya.

Tambahnya, jika tidak mampu menambah pendapatan sampingan keluarga, usahakan untuk berjimat cermat mengikut kesesuaian cara hidup, keperluan, desakan, kebolehan dan cabaran kerana situasi ekonomi setiap individu adalah berbeza.

"Golongan T20 dan M40 misalnya lebihkan berbelanja dalam negara untuk jana rantaian ekonomi IKS dan peniaga mikro manakala B40 terus bangkit dengan bimbingan perniagaan yang disediakan kerajaan. Pasti kita semua mampu keluar dari kemelut ekonomi yang melanda," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram