EKSKLUSIF

'Jangan buat hal lagi Umno'


  • Politik
  • Rabu, 01 Sep 2021

Penarikan sokongan Umno terhadap Muhyiddin menjadi permulaan kepada krisis politik negara baru-baru ini.

PARTI Melayu terbesar, Umno dinasihatkan supaya fokus terhadap hala tuju parti dan tidak lagi meletuskan krisis politik yang mendorong perletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri baru-baru ini, kata pakar politik.

Penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia, Dr Syed Agil Alsagoff berpendapat, jalan terbaik buat Umno sekarang adalah dengan menumpukan kepada prinsip mereka yang bersandarkan kepada sokongan pengundi Melayu, sekali gus menentukan hala tuju jelas parti bagi membela nasib Melayu dalam konteks politik negara.

Menurut beliau, Umno juga harus berlapang dada dalam menjalin kerjasama bersama parti-parti lain serta tidak lagi mengulangi polemik yang membawa kepada perletakan jawatan Muhyiddin baru-baru ini.

“Jika Umno terus dengan polemik seperti ini, penyokong akan hilang kepercayaan kepada mereka dan beralih sokongan ke parti lain.

“Orang akan lihat Umno sebagai parti yang tidak kisah akan rakyat dan hanya mahu merebut kuasa dan jawatan," katanya kepada Majoriti.

Jelas Syed Agil lagi, polemik sebegini mampu memberi kesempatan kepada pihak pembangkang untuk mengambil alih semula kerajaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Tambahnya, Umno harus berlapang dada untuk mewujudkan kerjasama dengan parti lain bagi meneruskan usaha dan prisisp mereka untuk memartabatkan orang melayu.

“Sebelum ini, Umno mahu keluar PN kerana menganggap mereka telah disabotaj dan ditipu tetapi saya mahu tanya, berapa ramai orang Umno yang telah diberi jawatan-jawatan penting di dalam Kabinet Muhyiddin dahulu? Bukan apa, mereka turut diberi jawatan nombor dua negara. Takkan itu masih dikira sabotaj?” soal beliau.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani berkata, Umno akan membentuk sebuah pakatan yang kuat jika mereka terus bersama Perikatan Nasional.

“Kita lihat sekarang parti-parti komponen lain dalam Barisan Nasional... MIC dan MCA sudah tidak lagi kuat dan hanya mempunyai dua kerusi.

“Jadi, Umno memerlukan rakan yang kuat untuk survival politik mereka terutamanya untuk menghadapi PRU akan datang,” katanya.

Kata Azizuddin, jika Umno terus bersama Perikatan Nasional ketika PRU nanti, mereka harus bertolak ansur dan berkorban dari segi kerusi dan jawatan.

“Sebelum ini, Umno dilihat membuat keputusan untuk menarik sokongan terhadap Muhyiddin kerana mereka terpaksa mengalah dalam banyak perkara, inilah yang sepatutnya dielakkan. Mereka harus bertolak ansur,” jelas beliau.

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram