Peluang kedua Ismail Sabri tebus 'kesilapan Kabinet kitar semula'


  • Massa
  • Sabtu, 28 Ogos 2021

Ismail Sabri Yaakob mengumumkan senarai Kabinet baharu pada Jumaat. — Facebook

BARISAN Kabinet baharu sudah diumum, tapi boleh dikatakan majoriti rakyat kecewa dengan pemilihan jemaah menteri di bawah pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Lihat sahaja komen Facebook di setiap laporan berita dan siaran langsung pengumuman Perdana Menteri itu pada Jumaat.

'Keluarga 69', 'Kabinet Kitar semula', 'PN2.0' antara sindiran pedas yang memenuhi ruangan komen media sosial.

Itu realitinya apabila hampir semua menteri di bawah kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, dipilih semula Ismail Sabri.

Harapan setinggi gunung rakyat menunggu depan televisyen atau menonton strim langsung di media sosial mengharapkan barisan Kabinet segar ternyata ditarah begitu sahaja sebaik saja Ismail Sabri menyebut nama menteri pertama ketika pengumuman itu.

Bukan lagi rahsia bahawa 'menteri pertama' itu diilhat menjadi liabiliti semasa pentadbiran Perikatan Nasional dengan desakan rakyat agar Muhyiddin bertindak lebih tegas termasuk memecatnya.

Mana tidaknya, satu ketika rakyat berdiri di belakangnya apabila beliau menaikkan status "Saya dah tutup pintu depan tapi..." di Facebook yang mencetuskan spekulasi dalam kalangan rakyat yang mentafsirkan usahanya menutup operasi kilang sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) awal tahun ini.

Namun usahanya itu 'digagalkan' apabila ada pihak tetap membenarkan operasi kilang diteruskan sewaktu pelaksanaan PKP sehingga menyaksikan peningkatan kes mendadak di Lembah Klang sehingga ke hari ini.

Malah pelantikannya sebagai Perdana Menteri juga boleh dikatakan mendapat majoriti sokongan rakyat berdasarkan reaksi di media sosial selain keterbukaannya dengan blok pembangkang.

Ismail Sabri mempunyai momen terbaik untuk melakukan pembaharuan seperti yang diharapkan rakyat tetapi sayang, peluang pertama beliau disia-siakan begitu sahaja.

Apatah lagi beliau melantik semula 'menteri pertama' yang didakwa pernah menjadi liabiliti ketika Perikatan Nasional berkuasa.

Maka tidak hairanlah ada troll terhadap Ismail Sabri yang menyebut "Saya tutup pintu depan, tapi saya kunci saya serah dekat Azmin Ali".

​​​​​​​ Troll Ismail Sabri

Troll di media sosial berhubung keputusan Ismail Sabri melantik semula Azmin Ali.

Tetapi pemilihan sudah muktamad dan apa pun percaturan politik antara blok kerajaan antara Umno, Bersatu dan PAS, hanya mereka sahaja yang tahu, apatah lagi senarai Kabinet itu telah mendapat perkenan Yang Dipertuan Agong.

Bak kata veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah, "Itu sahaja pilihan yang ada."

Namun peluang masih ada buat Ismail Sabri untuk menebus 'kesilapan' pertamanya itu sebagai Perdana Menteri masih terbuka dalam tempoh 100 pentadbirannya.

Seperti yang disuarakan Tengku Razaleigh, Ahli Parlimen Gua Musang itu berharap lantikan baharu ini akan dipotong separuh gaji mereka berbanding ketika pentadbiran Muhyiddin.

"Saya telah memberikan ulasan bahawa tak dapat nak duga selain daipada mereka yang dipilih, kerana ini sahaja pilihan yang ada.

"Sudah tentu Umno kecewa dengan barisan Kabinet baharu ini.

"Mari kita berdoa agar gaji mereka ini dibayar sekurang-kurangnya separuh daripada jumlah yang dibayar kepada mereka di bawah (Tan Sri) Muhyiddin," kata mengulas pengumuman Kabinet baharu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram