"Jangan dibayangi jenama Perikatan Nasional"


  • Politik
  • Sabtu, 28 Ogos 2021

AHMAD Zahid berkata kerajaan wajar kekal dengan jenama Keluarga Malaysia dan Kerajaan Malaysia. — The Star

KERAJAAN tidak boleh lagi terus dibayangi dengan jenama Perikatan Nasional sebaliknya kekal dengan asas Keluarga Malaysia dan Kerajaan Malaysia.

Panduan itu ditetapkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno selepas melalui perbincangan dan dipersetujui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ini kerana kerajaan sekarang terdiri hasil daripada gabungan beberapa parti.

“Ini kerana kerajaan yang dibentuk ketika ini merupakan kerjasama politik longgar antara Parti Barisan Nasional yang terdiri daripada Umno, MCA, MIC dan PBRS, Parti Perikatan Nasional (Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan STAR), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS),” katanya menerusi satu kenyataan dikeluarkan.

Keputusan itu dibuat selepas beliau mempengerusikan mesyuarat MKT Umno yang turut dihadiri Ismail Sabri, yang juga Naib Presiden Umno di Menara Dato Onn, pada Jumaat.

Keputusan lain yang dicapai dalam mesyuarat berkenaan adalah tentang pendirian Umno untuk kekal menyahut titah saranan Yang di-Pertuan Agong bagi melaksanakan kerjasama dan permuafakatan rentas parti.

“Kerajaan baharu ini hendaklah segera memfokuskan usaha untuk menangani pandemik Covid-19 dan proses vaksinasi agar mencapai imuniti kelompok yang mampu mengurangkan risiko kematian akibat serangan virus.

“Kerajaan mesti menyantuni kehendak dan tuntutan rakyat berkaitan kebajikan dan kesejahteraan mereka termasuklah penambahbaikan pakej-pakej bantuan rakyat (BPN, BPR dan BKC).

“Ia termasuk moratorium tanpa faedah terakru, pengeluaran i-Citra secara one-off dengan jumlah minimum RM10,000 dan bantuan kepada pengusaha kecil dan sederhana yang terjejas teruk akibat pandemik,” katanya. – Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram