Warga emas baru selesai kuarantin, maut akibat ambulans terbabas


  • 112
  • Selasa, 31 Ogos 2021

AMBULANS yang membawa pesakit Covid-19 terbabas ketika dalam perjalanan membawa mangsa pulang. — Sinar Harian

SEORANG warga emas yang baru selesai menjalani kuarantin Covid-19 maut selepas ambulans dinaikinya hilang kawalan dan terbabas ke longkang di Kilometer 21 Jalan Pekan-Batu Balik, Pekan pada Isnin.

Mangsa merupakan pesakit lelah kronik menjalani kuarantin di Hospital Pekan setelah disahkan sebagai kontak rapat pesakit Covid-19

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Supt Kamarulzaman Jusoh berkata mangsa, lelaki warga tempatan berusia 74 tahun disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Pekan pada 10.20 malam tadi.

"Kemalangan dipercayai berlaku pada 4.15 petang semasa ambulans yang dalam perjalanan menghantar mangsa yang tamat tempoh kuarantin di Hospital Pekan pulang ke rumahnya di Felda Chini, terbabas semasa melalui jalan yang sedang dinaik taraf.

"Kemalangan juga menyebabkan pemandu ambulans dan jururawat yang berada dalam kenderaan itu cedera ringan," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

covid-19, kemalangan, Felda Chini