SEORANG ibu berusia 53 tahun bersama dua anak perempuannya di Kedah ditahan selepas didakwa terbabit dalam penipuan online membabitkan urusan jual beli produk kecantikan.
Suspek bersama dua anaknya yang berusia 28 dan 31 tahun itu didakwa menjadi dalang kes di sekitar Pendang dan Alor Setar.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Superintendan Elias Omar berkata, kesemua suspek ditahan pada 17, 18 dan 22 Ogos lalu.
Elias berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa selepas mula sedar ditipu dalam transaksi pembelian produk kecantikan.
Tambahnya, mangsa dikatakan menerima pelawaan untuk menjadi rakan kongsi perniagaan selain menawarkan 'showroom' produk kecantikan jenama sendiri yang tidak wujud di laman sosial Instagram.
“Polis masih jalankan siasatan berhubung kes penipuan ini, ketiga-tiga suspek wanita tersebut dipercayai menjadi dalang kepada kes penipuan jual beli barang dalam talian.
“Mereka dipercayai menjalankan aktiviti ini sejak tahun 2018 menggunakan modus operandi sama,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat dan modus operandi jenayah komersil terkini melalui https://www.facebook.com/JSJKPDRM.
Dalam masa sama, Elias turut meminta mangsa lain supaya tampil ke depan membuat laporan dan mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati.
“Saya ingin mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran jualan barangan secara dalam talian terutama yang menawarkan harga rendah.
"Pembeli hendaklah membuat semakan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi,” katanya. – Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram