Tragedi malam merdeka, maut akibat renjatan elektrik


  • 112
  • Selasa, 31 Ogos 2021

PIHAK bomba menjalankan operasi menurunkan mangsa yang maut akibat terkena renjatan elektik. — Jabatan Bomba

SEORANG lelaki meninggal dunia akibat terkena renjatan elektrik di Kampung Hilir, Sibu, Sarawak malam Isnin.

Mangsa, Syazwan Saifullah Roslan, 22, terkena renjatan elektrik pada kabel utama di atas bumbung sebuah rumah.

Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu dikejarkan ke lokasi, sebaik sahaja menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 10.27 malam

"Setibanya di lokasi, komander operasi melakukan pemeriksaan dan mendapati seorang mangsa lelaki berada di atas bumbung rumah yang sudah terkena renjatan elektrik pada kabel elektrik utama.

"Bomba kemudian bertindak menghubungi pihak SESCO bagi memutuskan bekalan elektrik," katanya.

Tambahnya, selepas bekalan elektrik diputuskan, bomba menurunkan mangsa untuk diperiksa oleh pihak paramedik yang turut berada di lokasi.

"Pihak paramedik mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan. — Berita Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

renjatan elektrik, maut, bomba