JKKP P.Pinang keluar notis larangan terhadap kilang sebabkan pekerja maut


Seorang warga tempatan maut di tempat kejadian selepas terjatuh dari ketinggian 18 kaki Khamis lalu. — Bernama

JABATAN Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang telah mengeluarkan satu notis larangan terhadap sebuah kilang di Kawasan Perusahaan Perai kerana gagal menyediakan sistem kerja selamat hingga mengakibatkan kematian seorang pekerjanya Khamis lalu.

Dalam kejadian dua hari lepas, seorang lelaki warga tempatan yang sedang melakukan kerja-kerja menukar bumbung jenis zink di bahagian belakang bangunan pengeluaran di kilang tersebut telah terjatuh sehingga menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Pengarah JKKP Pulau Pinang, Hanisah Ahmad berkata, notis itu dikeluarkan oleh pihaknya selepas siasatan awal dijalankan mendapati berlaku kecuaian bagi aktiviti kerja menukar bumbung jenis zink di bahagian belakang bangunan pengeluaran di kilang tersebut.

"Mangsa yang berusia 45 tahun dikatakan telah memijak bahagian zink yang rapuh dan tiada penyokong menyebabkan mangsa jatuh dari ketinggian lebih kurang 18 kaki dari paras bumbung ke lantai," katanya dalam satu kenyataan.

Hanisah berkata, pihaknya telah mengambil tindakan segera dengan mengeluarkan satu Notis Larangan di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 kerana kesalahan gagal menyediakan sistem kerja selamat bagi kerja-kerja penukaran bumbung sehingga menyebabkan kemalangan.

Katanya, lokasi kejadian turut disita secara fizikal bagi memastikan tidak berlaku kejadian kacau ganggu untuk siasatan selanjutnya dan majikan diarahkan untuk menyediakan dokumen tambahan bagi membantu proses siasatan lanjut dengan kadar segera.

"Tindakan perundangan akan diambil sekiranya didapati terdapat pelanggaran peraturan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 ke atas pihak yang bertanggungjawab," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram