Rakyat akan rugi, henti panjangkan isu nama kerajaan


  • Primer
  • Selasa, 31 Ogos 2021

ANNUAR gesa semua pihak berhenti panjangkan isu nama kerajaan baharu. —The Star

RAKYAT akan rugi sekiranya negara dibiarkan terjebak dalam ketidaktentuan politik, politik yang berlarutan serta ketidaktentuan kerajaan, tegas Tan Sri Annuar Musa.

Selaras itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia itu menggesa semua pihak untuk berhenti memanjangkan isu nama kerajaan baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sebaliknya, beliau berkata, fokus kini perlu ditumpukan kepada usaha membantu rakyat dan mewujudkan kestabilan politik supaya agenda kerajaan seperti Pelan Pemulihan Negara dapat diteruskan.

Katanya, semua pihak perlu faham bahawa kerajaan yang terbentuk sekarang adalah berasaskan permuafakatan Ahli Parlimen yang tidak mahu melihat ketidaktentuan politik dan kerajaan yang wujud sebelum ini berlarutan sehingga menjejaskan kehidupan rakyat.

“Sebab itu saya kata cara paling baik ialah tidak usah panjangkan tentang isu nama, kita tumpukan kerja kepada rakyat,” katanya ketika mengulas kenyataan beberapa pemimpin politik berbeza fahaman berkaitan nama kerajaan baharu yang terbentuk ketika ini.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata demikian kepada pemberita pada Malam Kasih Merdeka anjuran Rumah Prihatin@Hotel Grands Seasons, di ibu negara, sempena Hari Kebangsaan ke-64 malam tadi. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Annuar Musa, politik, kerajaan baharu