Prestasi kutipan hasil cukai negara dijangka terus berkurangan


  • Primer
  • Selasa, 31 Ogos 2021

MoF juga menjangkakan kutipan hasil cukai negara seterusnya turut akan berkurangan— OH ING YEEN/ The Star

PANDEMIK Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) antara faktor kutipan hasil cukai negara rendah berbanding dengan sasaran bagi tempoh separuh pertama 2021, kata Kementerian Kewangan (MoF).

MoF dalam kenyataannya berkata, disebabkan dua faktor itu, aktiviti perniagaan dan pendapatan peniaga terjejas, selain menyebabkan pertambahan rakya yang kehilangan pendapatan.

Tambah kementerian itu, kutipan cukai langsung bagi 2021 setakat Julai berjumlah RM67.4 bilion atau 56.2 peratus daripada sasaran, manakala cukai tidak langsung mencatatkan kutipan sebanyak RM24.8 bilion atau 59 peratus daripada sasaran.

Dalam kenyataan sama, MoF juga menjangkakan hasil kutipan seterusnya turut akan berkurangan.

Bagi 2021, sasaran kutipan hasil cukai adalah berjumlah RM162.1 bilion atau 10.3 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan ia merangkumi kutipan cukai langsung sebanyak RM120.0 bilion dan cukai tidak langsung berjumlah RM42.1 bilion.

Sebagai langkah membantu golongan dan sektor terjejas, inisiatif percukaian yang dianggar berjumlah RM3 bilion telah dilaksanakan melalui Belanjawan 2021 dan pelbagai pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan sepanjang 2021.

Antaranya termasuk Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai); Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa), Pemerkasa Tambahan serta Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).

Kesemua pakej itu merupakan inisiatif utama merangkumi sektor kesihatan, perlindungan rakyat, sektor perniagaan dan sektor pelaburan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

PKP, MoF, cukai, Pemulih, Permai, Pemerkasa