Peralihan Lembah Klang ke Fasa Dua PPN langkah realistik


  • Massa
  • Isnin, 30 Ogos 2021

ORANG ramai mengisi borang ketika hadir untuk vaksinasi 'walk-in' di Pusat Pemberian Vaksin Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 6 Ogos lalu. — Bernama

LANGKAH kerajaan untuk mempertimbangkan Lembah Klang beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) disambut baik oleh pakar kesihatan.

Menurut pakar perubatan kesihatan awam Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Malina Osman, langkah itu adalah realistik memandangkan kadar populasi dewasa di Lembah Klang yang telah melengkapkan vaksinasi adalah sebanyak 90.3 peratus.

"Kalau melihat data di Lembah Klang, perkhidmatan kesihatan di hospital semakin pulih dan kes-kes Covid-19 melibatkan kategori 3,4 dan 5 juga menurun. Angka pesakit yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) juga berkurangan.

"Selain itu, banyak sektor dapat dibuka semula dan berita baik untuk mereka yang perlu melakukan perjalanan rentas daerah bagi meneruskan aktiviti berkaitan ekonomi serta sosial," katanya.

Tambah Malina, beliau menyarankan agar pembukaan tempat ibadah seperti masjid kepada orang ramai turut dipertimbangkan oleh kerajaan.

Pada Ahad, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri memberi bayangan Lembah Klang boleh beralih ke Fasa Dua PPN memandangkan kadar vaksinasi bagi populasi dewasa kini mencapai 89.5 peratus.

Langkah itu akan diputuskan dalam perbincangan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19 bersama barisan Kabinet yang akan dipengerusikan oleh Ismail Sabri kelak.

Dalam pada itu, pakar kesihatan Universiti Islam Antarabangsa, Prof. Dr. Jamalludin Ab. Rahman berpandangan kerajaan tidak punya cara lain untuk membantu rakyat meneruskan kelangsungan hidup melainkan membuka semula sektor eknomi.

"Langkah untuk beralih itu lebih kepada keperluan ekonomi dan sektor berkenaan dapat bergerak semula kerana rakyat sudah mula resah.

"Sekarang ini, tanggungjawab terletak kepada masyarakat untuk menjadi barisan hadapan. Terus lindungi diri anda, pakai pelitup muka, jaga prosedur operasi standard (SOP)," ujar beliau. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram