Pekerja kilang parah ditetak 6 lelaki


  • 112
  • Selasa, 31 Ogos 2021

POLIS meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu untuk tampil membantu siasatan. — The Star

POLIS sedang mengesan enam lelaki dipercayai warga tempatan yang menyebabkan kecederaan parah seorang pekerja kilang dalam satu kejadian di sebuah gerai di pasar Malam Taman Merak, Simpang Ampat, Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Mangsa yang berusia 25 tahun ditetak di kedua-dua tapak tangan, belakang kepada dan ditoreh di kedua-dua peha kini sedang dirawat di Hospital Seberang Jaya dan dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Supritenden Lee Chong Chern memberitahu pihaknya menerima laporan berkenaan kejadian itu selepas pihak hospital menghubungi pihak polis pada pukul 7.20 malam.

Menurutnya, mangsa difahamkan diserang sekumpulan lelaki itu semasa sedang membeli makanan di lokasi kejadian.

"Menurut saksi, mangsa awalnya cuba melarikan diri selepas diserang kumpulan lelaki berkenaan namun, gagal selepas dia jatuh selepas ditetak mereka di tepi jalan.

"Kesemua suspek terus menyerang mangsa dan melarikan diri meninggalkan mangsa dalam keadaan parah," katanya.

Tambah beliau lagi, mangsa yang kehilangan banyak darah diselamatkan pengunjung di pasar malam yang melihat kejadian terbabit.

Mangsa dihantar ke Hospital Sungai Bakap sebelum dipindahkan ke Hospital Seberang Jaya.

Jelas Chong Chern lagi, polis setakat ini belum boleh mengambil keterangan mangsa kerana keadaanya yang masih kritikal.

"Polis juga sedang mengumpulkan maklumat daripada saksi untuk siasatan lanjut. memandangkan tiada kamera litar tertutup di lokasi kejadian," ujarnya.

Jelasnya lagi, pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu untuk tampil membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.— Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Polis, Seberang Perai, Chong Chern, parah, tetak