Larangan konvoi sepanjang PPN


  • 112
  • Selasa, 31 Ogos 2021

SEBARANG permohonan bagi aktiviti berkaitan konvoi kenderaan tidak dibenarkan di Perak. — The Star

SEBARANG permohonan konvoi kenderaan yang dibuat oleh mana-mana individu atau kumpulan, sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) tidak akan diluluskan.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, sebarang tujuan berkaitan aktiviti itu akan menyebabkan berlakunya pelanggaran prosedur operasi standard (SOP), selain tiada penjarakan fizikal.

“Adalah dimaklumkan bahawa pihak polis menasihatkan kepada kelab atau kumpulan, untuk tidak melakukan sebarang aktiviti konvoi kenderaan sewaktu negara masih berdepan varian Delta virus Covid-19, yang mudah berjangkit ketika ini.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak merancang dan memohon untuk melakukan sebarang aktiviti konvoi sepanjang tempoh PPN, sehinggalah dibenarkan untuk berbuat demikian,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa sama, beliau menasihati masyarakat untuk mengelak daripada melakukan sebarang sesi perjumpaan di lokasi tumpuan serta mematuhi SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Polis akan terus memantau pematuhan SOP yang sedang berkuat kuasa dan akan mengenakan kompaun kepada sesiapa sahaja yang gagal mematuhinya,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

konvoi, polis Perak, larang