Nilai dulu situasi Kelantan, Sarawak sebelum alih fasa PPN Lembah Klang


  • Massa
  • Selasa, 31 Ogos 2021

KERAJAAN tak boleh undur semula jika putuskan peralihan fasa PPN.

KHABAR gembira yang bakal menanti penduduk Lembah Klang berhubung pertukaran status Pelan Pemulihan Negara (PPN) daripada Fasa 1 kepada Fasa 2 mungkin tidak seindah disangka.

Ini kerana kerajaan tidak boleh undur ke belakang sekiranya memutuskan untuk beralih dari Fasa 1 ke Fasa 2 PPN seperti yang diumumkan Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika beliau masih menjadi Perdana Menteri.

Tambahan pula, dengan kewujudan varian Delta Covid-19 di negara ini seperti di Kelantan yang kini di Fasa 2 PPN dan Sarawak (Fasa) perlu dijadikan batu pengukur sebelum kerajaan buat keputusan membenarkan negeri Fasa 1 beralih kepada Fasa terutamanya di Lembah Klang.

Kedua-dua negeri itu mengalami lonjakan kes baharu Covid-19 sejak beberapa hari lepas, sekali gus membayangi keputusan kerajaan membenarkan Lembah Klang beralih ke Fasa 2.

Sebarang kesilapan dalam membuat keputusan akan merisikokan usaha menangani Covid-19, malah bakal menyusahkan rakyat jika berlaku perubahan SOP atau pelaksanaan pelan baru bagi mengekang jangkitan wabak itu.

Mengulas perkara ini, Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Zainal Ariffin berkata, sebarang perkembangan atau apa-apa keputusan ditetapkan kerajaan mesti ada pemantauan dan tindakan cergas.

“Ramai orang rasa kalau kita pindah ke Fasa 2 memang mula-mula agak kelam kabut sedikit sebab rakyat tak selesa dan sebagainya.

“Kalau sudah buka (Fasa 2), kita kena lagi berhati-hati dan beritahu orang ramai supaya jangan selesa serta tingkatkan pemantauan di premis,” katanya.

Tambahnya lagi, beliau tidak pasti indikator yang ditetapkan kerajaan dan memberi contoh Selangor, negeri itu ada Special Task Force sekali gus menjadikan lebih banyak pendapat mengenai peralihan fasa PPN itu.

“Kita harap kalau mereka nak buat sesuatu mesti lebih bertanggungjawab,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Yaakob berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19 yang dipengerusikan beliau akan memperhalusi kesediaan Lembah Klang beralih ke Fasa 2 PPN.

Beliau berkata, ia memandangkan kadar suntikan lengkap vaksinasi atau dua dos mencapai 89.5 peratus.

“Kalau jumlah 89.5 peratus mungkin boleh berpindah ke fasa seterusnya sebab daripada segi kadar vaksin telah melebihi keperluan imuniti kelompok iaitu hampir 90 peratus,” katanya.

Kepentingan ekonomi

Mengulas perkara sama, Pakar Kesihatan Awam Dr Malina Osman berkata, meskipun Selangor masih mencatitkan kes baharu tertinggi, namun kes aktif dan kes-kes aktif yang memerlukan rawatan di hospital semakin menurun.

Dr Malina berkata, situasi ketika ini bertambah baik, yang mana hospital-hospital mampu untuk kembali kepada fungsi sebenar dan liputan vaksin dewasa melebih 90 peratus membolehkan keputusan berubah ke Fasa 2 sedang dipertimbangkan.

Pada masa sama, Dr Malina berkata, keputusan peralihan fasa itu menjurus kepada kepentingan ekonomi.

Ketika ditanya mengenai sekiranya kemungkinan negeri-negeri Fasa 2 berpatah balik ke Fasa 1, beliau berpendapat menjangkakan keputusan itu akan menyebabkan kerugian besar sektor tertentu serta situasi teknikal yang akan menjejaskan banyak pihak.

“Dan jawapan sebenar boleh tanyakan pada MKN,” katanya merujuk kepada Majlis Keselamatan Negara.

Membuat perbandingan dengan Kelantan, beliau berkata, keputusan peralihan ke Fasa 2 bagi negeri itu dibuat ketika kes masih rendah dan menepati ciri yang ditetapkan oleh MKN.

Namun, katanya, selepas waktu berlalu dengan penularan varian Delta, lonjakan kes berlaku dan pada masa sama liputan vaksin di Kelantan masih rendah.

“Lonjakan kes menyebabkan impak kepada sistem perkhidmatan kesihatan yang semakin terkesan,” katanya.

Jelasnya lagi, terdapat keperluan untuk menafsirkan data epidemiologi, data klinikal dan tahap langkah pencegahan (vaksinasi) mengikut negeri untuk memahami situasi yang berbeza untuk Lembah Klang dan Kelantan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Fasa 2, pakar kesihatan, Lembah Klang