Dua lagu baharu iringi semangat sambutan Hari Kebangsaan


  • Primer
  • Ahad, 29 Ogos 2021

ANGGOTA TLDM melakukan raptai penuh sempena perarakan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada 31 Ogos ini. — Bernama
DUA lagu baharu bertemakan semangat patriotik akan diperdengarkan buat pertama kalinya kepada umum semasa sambutan Hari Kebangsaan pada Selasa.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Datuk Seri Mohammad Mentek berkata, dua lagu berkenaan adalah Keluarga Malaysia ciptaan oleh Tan Sri Annuar Musa manakala Menang Bersama pula hasil nukilan Pengarah Muzik Radio dan Televisyen Malaysia (RTM), Datuk Mokhzani Ismail.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan raptai penuh Sambutan Hari Kebangsaan 2021 hari ini.

Menurut Mohammad, lagu Keluarga Malaysia yang dinyanyikan oleh artis Ara Johari, Masya Masyitah, Putra Muhammad dan Sufi Rashid, dicipta oleh Annuar bagi menyahut aspirasi serta saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai Keluarga Malaysia.

"Ia merupakan satu keunikan, walaupun Ismail Sabri baru sahaja memperkenalkan konsep Keluarga Malaysia, maka kita di KKMM telah menyambut konsep itu dengan ciptaan lagu baharu iaitu Keluarga Malaysia," jelasnya yang difahamkan Annuar mencipta lagu berkenaan dalam masa yang singkat.

Annuar dinamakan sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia dalam pengumuman pembentukan Kabinet oleh Ismail Sabri pada Jumaat lepas dan akan mengangkat sumpah jawatan di Istana Negara, Kuala Lumpur esok.

Mohammad berharap kedua-dua lagu baharu termasuk lagu Menang Bersama nyanyian artis Faizal Tahir dapat menyuntik semangat kepada rakyat Malaysia yang masih berjuang dengan pandemik Covid-19.

Mengenai persiapan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, Mohammad berkata, walaupun durasi persembahan fizikal itu cuma sekitar 50 minit namun ia dipenuhi dengan acara-acara yang menghiburkan.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2021 nyata berpuas hati dengan perjalanan raptai penuh yang dibuat pada hari ini.

"Kita berdoa semoga cuaca pada 31 Ogos nenti menyebelahi kita sebab kita cuma ada empat persembahan sahaja," ujarnya sambil menambah acara di Dataran Pahlawan Negara bermula pada pukul 8 pagi dan orang ramai boleh menonton dari rumah masing-masing bermula pukul 7.30 pagi di saluran TV1.

Beliau berkata, antara acara persembahan yang akan berlangsung di Dataran Pahlawan adalah persembahan drumline oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kawad senyap oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), pancaragam gabungan anggota uniform dan persembahan udara oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram