'100 hari juga untuk anda, Ismail Sabri'


  • Politik
  • Sabtu, 28 Ogos 2021

ANWAR Ibrahim (kiri) dan Zaid Ibrahim (tengah) memberi amaran untuk memantau prestasi kerajaan diterajui Ismail Sabri.

SELANG sehari Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan senarai anggota Kabinet, pihak pembangkang mula memberi amaran keras kepada pihak kerajaan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk bersuara sekiranya terdapat penyalahgunaan kuasa secara terang-terangan dalam kalangan anggota Kabinet yang baru dilantik.

Katanya, rakyat merupakan dan sentiasa menjadi keutamaan.

“Kami sebagai pembangkang, akan memantau, meneliti dan menyuarakan dengan teliti jika tiada program yang berkesan bagi menangani Covid-19 dan membawa perubahan kepada kehidupan masyarakat,” katanya menerusi hantaran di laman Twitter.

9f50925a-2695-4bd6-bd3c-91652968e196

Hantaran di laman Twitter rasmi Anwar Ibrahim hari ini.

Jika tempoh 100 hari diberi kepada 31 menteri dan 38 timbalan menteri dalam barisan Kabinet baharu, Ismail Sabri juga diberi tempoh sama bagi menunjukkan prestasinya sebagai Perdana Menteri.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Zaid Ibrahim berkata, Ismail Sabri perlu membuktikan bahawa dirinya lebih efektif ketika menyandang jawatannya berbanding Tan Sri Muhyiddin Yassin, selain tidak mengambil peduli mengenai soal popularitinya.

“Perdana Menteri telah mengingatkan menteri bahawa mereka mempunyai 100 hari untuk menunjukkan mereka berfungsi. Oleh itu, saya akan mengingatkan perkara sama kepada beliau.

“Beliau mesti mengurangkan kes Covid-19 ke tahap yang boleh diterima. Jika memerlukan beliau untuk menukar menteri-menterinya pada setiap 100 hari, maka buatlah,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Terdahulu, pembangkang bersetuju untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam memperkasa fungsi Parlimen sebagai institusi yang bertanggungjawab dan konstruktif serta menyemak dan mengimbang tadbir urus eksekutif supaya lebih telus dan memenuhi kehendak rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata mereka juga bersetuju dan memahami pentingnya kebebasan badan kehakiman, reformasi institusi dan tatakelola kerajaan yang baik bagi memastikan keadaan yang lebih kondusif untuk rakyat dan negara dalam konteks Keluarga Malaysia.

"Pertemuan ini tertumpu kepada agenda kepentingan rakyat dalam mencari titik persamaan yang terbaik bagi menangani krisis pandemik Covid-19, menjaga nyawa dan keselamatan diri daripada ancaman wabak dan membebaskan rakyat daripada cengkaman ekonomi berikutan kehilangan pekerjaan dan pendapatan," katanya.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram