Atas motor pun boleh gaduh...


  • Tular
  • Selasa, 31 Ogos 2021

TANGKAP layar video menunjukkan kedua-dua individu itu berhenti secara mengejut di tengah-tengah jalan. — Facebook

TINDAKAN seorang penunggang dan pembonceng yang bergaduh di atas motosikal, kini menjadi perbualan netizen apabila aksi mereka itu tular di media sosial.

Menerusi video yang dikongsikan oleh pengguna laman Facebook, Eman Panji, kejadian berkenaan dipercayai berlaku pada Ahad lalu di pinggiran Batu Caves, Selangor.

Video berdurasi 22 saat itu memaparkan pembonceng motosikal itu menumbuk kepala penunggang di hadapannya sebelum penunggang terbabit bertindak memberhentikan motosikalnya di tengah-tengah jalan raya.

Eman yang menganggap pergaduhan itu membahayakan pengguna jalan raya lain berkata, kedua-dua penunggang dan pembonceng sepatutnya mencari tempat lain untuk menyelesaikan masalah mereka.

“Korang (kau orang) berdua ni dah kenapa ni? Sudah tak ada tempat lain ke nak bertumbuk.

“Hmm.. baik punya gaduh erkk... Atas motor pun jadi. Tak boleh settle (selesaikan) tepi dulu ke?

“Nasib baik tak libatkan pengguna jalan raya yang lain,” katanya lega.

Sehingga kini, tiada maklumat mengenai punca pergaduhan tersebut selain tidak dapat dipastikan hubungan antara kedua-dua individu berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

gaduh, jalan raya, motosikal