Belikan makanan untuk rider, tindakan nurani lelaki ini dipuji


  • Tular
  • Ahad, 29 Ogos 2021

TANGKAP layar memaparkan seorang lelaki membelikan makanan buat penghantar Grab Food yang tular di laman sosial. — Twitter/Penglipur Lara

TINDAKAN murni seorang pelanggan perkhidmatan penghantaran makanan Grab Food yang memberi sebahagian makanan yang dibelinya kepada penghantar (rider) mendapat pujian warga media sosial hari ini.

Kejadian itu dipaparkan dalam sebuah muat naik video TikTok di laman Twitter milik Penglipur Lara yang mendapat lebih 211,000 tontonan dan lebih 11,000 sukaan.

Video itu memaparkan seorang lelaki berbangsa Cina dengan nama akaun TikTok Bryanoh715 yang telah menerima pesanan lalu bertanya kepada penghantar bernama Fahmi sama ada dia sudah makan tengah hari atau belum.

Lelaki kemudian menawarkannya makanan yang dibeli namun, ditolak pada awalnya oleh penghantar berkenaan. Bagaimanapun dia kemudian memberitahu bahawa dia sebenarnya sebahagian makanan yang dibelinya dia niatkan untuk diberi kepada penghantar.

Penghantar makanan yang juga belum makan tengah hari kemudian menerima tawaran lelaki itu sambil ditanya dengan beberapa soalan.

Lelaki itu bertanya kepada penghantar sudah berapa lama dia sudah bekerja dengan Grab Food.

Penghantar itu menjawab dia sudah hampir dua tahun menjadi rider kerana telah diberhentikan kerja sebagai ejen cop pasport di sempadan susulan wabak Covid-19. Dia juga mengakui bahawa dia diberhentikan kerana pihak syarikat ingin menjimatkan kos bagi kelangsungan operasi.

Diajukan soalan tentang pengalaman menjadi rider, Fahmi memberitahu ini kali pertama ada pelanggan yang memberikan makanan dan dia berterima kasih dengan lelaki berkenaan.

Video itu mendapat pujian ramai warga Twitter yang menyifatkan bahawa ia merupakan satu tindakan murni dan patut dicontohi.

Seorang pemilik akaun @awayusuf turut meninggalkan komen bahawa video berkenaan menunjukkan bahawa sikap prejudis terhadap bangsa lain perlu dibuang kerana semua orang mempunyai tanggungjawab untuk menjadi manusia yang baik tanpa mengira bangsa dan agama.

Terdapat juga komen yang ditinggalkan oleh beberapa pengguna menyatakan bahawa tindakan berkenaan merupakan contoh bahawa rakyat Malaysia adalah sebuah warganegara yang bersatu meskipun berbilang kaum bangsa dan agama.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Twitter, Grab Food, Makan, Penglipur Lara