"DIA tinggalkan saya dan pergi,” itu kata-kata yang diungkapkan oleh Philomena, isteri kepada seorang pengawal keselamatan, Thava, yang meninggal dunia pada 27 Ogos lalu didakwa akibat diserang ketika bertugas di kolam renang sebuah kondominium di Ipoh tahun lalu.
Menurut pengguna Twitter @tashny, yang menghubungi Philomena berkenaan, wanita itu dilaporkan tinggal berseorangan dan tidak mempunyai anak.
Sejak pandemik Covid-19 muncul, dia juga tidak mempunyai pekerjaan dan hanya bergantung kepada pendapatan suaminya sebagai pengawal keselamatan.
CIAPAN pengguna Twitter yang menghubungi isteri pengawal keselamatan tersebut.
Sejak kelmarin, tular dua rakaman video menunjukkan seorang lelaki yang bersama kanak-kanak bertindak menyerang pengawal keselamatan menggunakan meja hingga pengsan, dipercayai berlaku pada 29 Disember tahun lalu.
Polis telah mengesahkan rakaman tersebut merupakan video lama dan polis telah memulakan siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
“Hasil siasatan mendapati kejadian berpunca daripada tindakan suspek yang tidak berpuas hati terhadap pengawal keselamatan itu kerana cuba menghalang anak suspek daripada menggunakan kolam renang yang tidak dibuka kepada orang ramai ketika itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Ketua Polis Perak, Mior Faridalthrash Wahid berkata, pengawal keselamatan itu meninggal dunia di rumahnya Jumaat lalu dan hasil bedah siasat oleh pihak Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh mendapati punca kematian disebabkan jangkitan pada paru-paru (Sepsis).
Bagaimanapun, kejadian tersebut telah menimbulkan rasa tidak puas hati ahli keluarga mangsa dan mendakwa punca kematian adalah disebabkan dipukul, justeru mengambil tindakan untuk menularkan kembali rakaman insiden berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram