Merdekakah kita?


  • Massa
  • Selasa, 31 Ogos 2021

KAMAL Shukri berkata, pertumbuhan ekonomi dan perdagangan tidak dapat mengelak daripada terkesan akibat pertelingkahan kuasa politik dan ekonomi.

HARI kemerdekaan disambut lagi pada 31 Ogos ini. Adakah sambutannya serupa seperti pada tahun 1957 dahulu atau serupa pada 1967 dahulu atau 1997 dahulu?

Pertamanya, apakah maknanya kemerdekaan kepada setiap warganegara kita? Apakah erti kemerdekaan bagi pembangunan negara? Apakah makna kemerdekaan bagi pembangunan, kemajuan pendidikan negara?

Cukup merdekakah kita dengan kewujudan kira-kira 10,000 institusi sekolah dan tertubuhnya 22 buah universiti awam yang sejumlahnya dikatakan berprestasi tinggi, walaupun puluhan ribu graduannya masih menganggur atau bekerja dengan pendapatan di bawah paras kemiskinan, sekadar menjadi pemandu Grab dan menjadi penghantar makanan?

Malah berpuluh dan beratus institusi pendidikan swasta dan antarabangsa yang wujud secara sendirian mahupun secara berkembar tanpa segan silu mengkesampingkan aspek bahasa, nilai, jati diri, budaya teras negara ini, atas alasan klise dan rapuh demi global dan pengantarabangsaan.

Merdeka bererti meruntuhkan nilai, jati diri, budaya dan bahasa sendiri sebagai bahasa ilmu? Sehingga usia lebih 60 tahun kita rupanya sedar yang kita tiada tanggungjawab dan keperluan untuk menjulang bahasa sendiri selain terus menjadi umang-umang dalam arus globalisasi.

Apa erti merdeka?

Apakah erti merdeka bagi ekonomi negara yang pasang surut dan menguncup terutama semasa pandemik Covid-19 ini?

Apakah maknanya kemerdekaan dalam pembangunan kemajuan Sains dan teknologi negara dan sejauh manakah pembangunannya melestarikan budaya, citra dan jati diri teras negara ini?

Apakah yang telah merdeka dari segi pembinaan budaya dan sahsiah negara, dengan jumlah remaja yang pelbagai masalah, lemah jati diri, ketahanan mental, malah tidak mengenali negara sendiri? Merdekakah kita dalam semua ranah itu? Merdekakah jati diri dan citra rakyat negara ini?

Jawapannya pasti ada ya dan ada yang tidak. Yang jelas Jalur Gemilang tetap berkibar megah di tiang yang disediakan pada setiap sambutan kemerdekaan. Itulah fizikal yang jelas dilihat.

Bagaimana pengisiannya? Mengimbau realiti, sebelumnya, beberapa dekad selepas merdeka, dalam arena politik banyak terlihat berlakunya percakaran sesama sendiri, di samping dengan kumpulan yang berbeza fahaman. Sesekali jelas memperlihat unsur cauvinis dan rasisnya.

Perkara yang jelas dalam fasal perlembagaan seperti kedaulatan Raja-raja Melayu, agama Islam, kedudukan istimewa orang Melayu dan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan kebangsaan masih dicuit-cuit secara halus dan kasar.

7 wasiat Raja Melayu

Apa yang dirakam sebagai 7 wasiat Raja Melayu seperti tidak diendahkan langsung. Sejarah tanah air hanya dingat pada tanggal 31 Ogos dan selepasnya.

Apa yang berlaku sebelum tarikh merdeka dan ribuan tahun dahulu semacam terbenam di dasar pelantar Sunda.

Peristiwa yang mencetus tragedi 13 Mei 1969 mahu dilupakan begitu saja tanpa mengambil sebarang iktibar. Dasar Ekonomi Baharu yang sedikit berjaya dirobek separuh jalan hanya dengan alasan dasarnya tempang dalam perjalanan.

Pertumbuhan ekonomi dan perdagangan tidak dapat mengelak daripada terkesan akibat pertelingkahan kuasa politik dan ekonomi. Indeks rasuah, salah guna kuasa, prestasi pendidikan turun naik dan naik turun tanpa petunjuk akan mereda dengan kadar segera.

Eloklah sempena Hari Merdeka ke-64 ini dan dalam krisis politik yang sedang mereda dan perang pandemik, kita mulakan usaha mengurus erti dan pengisian kemerdekaan yang sebenarnya bagi negara kita sebelum melangkah lebih jauh dalam semua ranah yang masih bagus, mahupun yang telah rosak dan punah termasuk pendidikan, sosioekonomi, industri dan teknologi tanpa melebur nilai, budaya dan jati diri teras negara ini, yang sebelum ini kerap diketepikan kerana dianggap tidak penting.

Gencatan politik wajib dilakukan kerana hanya dengan suasana yang tenang dan aman semuanya bisa diurus dengan baik dan harmoni.

Kamal Shukri Abdullah Sani,

Pengerusi Biro Pembangunan Insan dan Komuniti,

Majlis Perundingan Melayu (MPM).

*Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis*

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

merdeka, politik, pembangunan