BEBERAPA syarikat penerbangan utama Malaysia seperti Malaysia Airlines dalam perancangan untuk memperkenalkan pas kesihatan digital kepada orang ramai bagi tujuan pelancongan, sekali gus merancakkan semula industri penerbangan.
Menurut Ketua Pegawai Pemasaran dan Pengalaman Pelanggan Kumpulan Malaysia Airlines, Lau Yin May, pas kesihatan itu akan mengandungi data kesihatan peribadi terutamanya berkaitan Covid-19.
Ujar beliau, platform terbabit bukan sahaja membolehkan pelancong untuk menyimpan data vaksinasi dan keputusan ujian Covid-19 mereka tetapi juga memastikan kontak yang minimum sewaktu melancong.
"Ketika melancong, terdapat banyak lokasi pemeriksaan yang harus dilalui oleh pelancong bermula dari daftar masuk sehinggalah berlepas dan juga ke lounge," kata Yin May semasa sesi webinar Pelaksanaan Pasport Vaksin Covid Antarabangsa minggu lalu.
Tambah Yin May, para penumpang lebih suka melakukan urusan atau transaksi secara tidak bersentuhan dan disebabkan itu, pihaknya bersiap sedia memenuhi permintaan tersebut.
Jelas beliau lagi, melalui pas tersebut, para penumpang dapat mengesahkan kelayakan perjalanan mereka dengan syarikat penerbangan bagi mengetahui polisi pelancongan terbaharu di seluruh dunia memandangkan setiap negara berada dalam fasa Covid-19 yang berbeza.
Pas kesihatan berkenaan dihubungkan dengan aplikasi mudah alih Malaysia Airlines dan akan menggabungkan beberapa modul Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).
Mengulas mengenai perkembangan aplikasi mudah alih itu, Yin May berkata, pihaknya merancang untuk menambah lebih banyak ciri termasuklah pembayaran tanpa tunai, pengecaman wajah biometrik dan e-buku. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram