KKM harus lebih jelas kemukakan data


  • Massa
  • Ahad, 29 Ogos 2021

Ramai rakyat ‘in-denial’ tentang keadaan kesihatan mereka ketika pandemik Covid-19. — The Star

JUMLAH kemasukan pesakit ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) yang semakin menurun tidak boleh dijadikan penanda aras situasi sebenar Covid-19 dalam negara, kata pakar perubatan.

Pakar virologi dari Universiti Malaya, Profesor Dr. Sazaly Abu Bakar berkata, jumlah sebenar kes Covid-19 di dalam negara adalah lebih banyak daripada apa yang dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Jika ikan di dalam kolam ada 10,000 dan kita hanya menangkap dua ekor setiap hari, sampai bila-bila hanya dua ekor akan dilaporkan setiap hari,” katanya kepada Majoriti.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai jumlah kes harian yang tidak menurun walaupun jumlah kemasukan pesakit ke PKRC menunjukkan penurunan.

Katanya, KKM harus melakukan ujian secara besar-besaran untuk mengetahui jumlah sebenar jangkitan Covid-19 di negara ini.

Mengenai kes kematian di luar hospital atau brought-in-dead (BID) yang masih lagi tinggi, beliau berkata ini terjadi disebabkan masih ramai rakyat yang berada dalam penafian atau ‘in-denial’ tentang keadaan kesihatan mereka.

“Ramai yang menunjukkan simptom Covid-19 tetapi berpendapat bahawa apa yang dialami itu hanyalah sakit biasa dan bukannya Covid-19. Ini banyak berlaku dalam kalangan orang muda.

“Bagi orang tua pula, mereka takut untuk mati di hospital kerana khuatir melihat apa yang berlaku kepada jenazah Covid-19 yang tidak dapat dimandikan dan tidak boleh berjumpa ahli keluarga. Pada mereka lebih baik jika mereka mati di rumah," kata beliau.

Sazaly turut tidak nampak kemungkinan kes harian akan menurun secara konsisten dalam masa terdekat melainkan 80 peratus rakyat sudah divaksinasi.

Dalam pada itu, Pakar Epidemiologi dan Biostatistik Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr. Malina Osman berkata KKM harus menyampaikan data dengan lebih khusus supaya orang ramai tidak mendapat gambaran yang tidak tepat mengenai situasi semasa Covid-19 dalam negara.

“Apa yang dirujuk oleh KKM, termasuk kemasukan ke PKRC semakin berkurangan dan penurunan kes tahap 4 dan 5, adalah jumlah bagi Lembah Klang dan tidak menunjukkan keadaan di dalam negara secara menyeluruh.

"Pada pendapat saya, KKM harus memberi gambaran yang lebih jelas kepada masyarakat dengan pembahagian mengikut negeri kerana ia boleh memberi gambaran yang tidak tepat kepada negeri-negeri di luar Lembah Klang," jelas beliau.

Tambahnya, jika tiada gambaran yang sebenar mengikut negeri, orang ramai akan mula leka dan alpa sekaligus mengambil mudah akan Prosedur Standard Operasi (SOP) yang telah ditetapkan.

"Saya masih berpendapat bahawa kita masih perlu berhati-hati walaupun pola yang ditunjukkan di negeri-negeri di Lembah Klang sudah bertambah baik kerana kita mahu negeri lain turut mengikut jejak yang sama," kata Dr. Malina.

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram